KEUNGGULAN Karim Benzema membantu kemenangan Real Madrid dengan dua gol yang dihasilkannya ketika menentang Galatasary mendapat pujian pengendalinya, Zinedine Zidane sekali gus disamakan dengan legenda kelab tersebut Alfredo Di Stefano.

Penyerang antarabangsa Perancis itu mencetak gol keempat dan kelima Madrid dalam kemenangan 6-0 dalam saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kemenangan di Santiago Bernabeu itu sekali gus memastikan Madrid mengekori rapat pendahulu kumpulan iaitu Paris Saint Germain (PSG) dengan beza lima mata.

Sebagai rekod, Benzema berjaya mencetak 50 gol di peringkat Eropah dalam 97 penampilannya mengatasi Di Stefano (49 gol).

Menurut Zidane, jumlah jaringan yang dihasilkan Benzema membuktikan pemain itu sangat berkualiti.

“Dia (Benzema) penting untuk pasukan, untuk menyerang dan dia melakukannya dengan baik.

“Satu-satunya yang berubah sejak Ronaldo (Cristiano) pergi adalah menjadikan dia (Benzema) lebih matang. Itu amat menggembirakan saya..dia sudah melebihi rekod yang dicapai legenda kelab seperti Alfredo Di Stefano.

“Dia sekarang sudah seperti Cristiano Ronaldo dalam sejarah kelab,” katanya.