PARLIMEN | Pendakwah terkenal India, Zakir Naik tidak ada dalam senarai merah Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maklum Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

“Kementerian membuat semakan pada senarai red notice Interpol dan mendapati nama Zakir Naik tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

“Semakan pada senarai entiti pengganas dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) juga mendapati nama beliau tidak tersenarai orang yang disyaki,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Menteri menjawab pertanyaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PAS) di Dewan Rakyat yang meminta pendirian Malaysia dalam berhadapan desakan kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah itu.

Menurut Muhyiddin, kerajaan berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi India terhadap Zakir Naik yang “bersifat politik” itu.

“Beliau memasuki dan keluar dari Malaysia melalui saluran yang sah daripada segi undang-undang.”

“Malaysia berhak mempertimbangkan untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi tersebut adalah yang bersifat politik seperti dinyatakan Artikel 6 Perenggan (1)(a) Artikel 6 Triti Ekstradisi tanpa menyatakan keperluan sebab penolakan permintaan ekstradisi tersebut.

Kerajaan India pada 19 Januari 2018 mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Zakir Naik.

Zakir sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) “hasil jenayah di India dan di luar negara”.

Zakir sebelum ini pernah berkata bahawa beliau bersedia untuk kembali ke India dengan syarat Mahkamah Agung India dapat memberi jaminan dalam tulisan bahawa dirinya tidak akan ditangkap dan dipenjara sehingga dia dibuktikan bersalah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.