BUKIT MERTAJAM – Pengagihan zakat di Pulau Pinang hanya akan diberikan kepada umat Islam di negeri ini termasuk golongan mualaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, walaupun ada pandangan lain yang mengatakan zakat boleh diberikan kepada orang bukan Islam bagi tujuan mendekatkan mereka kepada Islam, namun pihaknya bertindak selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 2006 yang menetapkan bantuan zakat hanya boleh diagihkan kepada orang Islam sahaja.

“Seperti yang dinyatakan oleh Mufti Pulau Pinang sebelum ini, umat Islam perlu diutamakan dalam pemberian zakat kerana kutipan membabitkan umat Islam kepada umat Islam.

“Sekiranya zakat mahu diperluaskan kepada orang bukan Islam, terserah kepada budi bicara ‘ulil amri ‘(pemerintah) untuk memutuskannya berdasarkan kepentingan awam,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Amran berkata, dalam konteks pemberian zakat kepada mualaf, ia diberikan kepada mereka yang baharu dan telah memeluk agama Islam selain menggunakan wang berkenaan untuk program-program tarbiah agar ikatan akidah mereka terhadap agama Islam semakin kuat.