KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya mengambil empat jenis polisi insurans kenderaan syarikat Allianz General Insurance berjumlah RM44,602.47 bagi 12 kenderaan didaftar bawah namanya bagi 2015.

Pengurus Cawangan Allianz General Insurance, Fang Suat Lim, memberitahu mahkamah ketika membaca penyataan saksi pada hari ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid membabitkan 47 tuduhan, termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Suat Lim, 49, berkata empat polisi itu diambil masing-masing untuk tujuh kereta jenama mewah dan lima motosikal berkuasa tinggi, serta satu motosikal klasik.

Saksi ke-13 pendakwaan itu berkata, nilai polisi insurans kenderaan itu antaranya bagi motosikal klasik pada RM151.75 hingga RM8110.75 bagi kenderaan serba guna, Toyota Land Cruiser.

Katanya, selain itu terdapat juga beberapa polisi insurans kenderaan dibeli di bawah nama isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis.

“Polisi kereta persendirian (Private car policy) adalah perkhidmatan insurans biasa kepada pemilik kereta persendirian.

“Manakala polisi motosikal untuk perkhidmatan insurans biasa bagi pemilik motosikal persendirian.

“Kod KL16285MT mewakili kod nombor ejen insurans dan jenis polisi insurans. KL16285 adalah kod nombor ejen insurans berurusan dengan pelanggan, manakala MT adalah kod polisi insurans bagi kenderaan bermotor,” katanya.

Suat Lim berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Saksi itu berkata, Ahmad Zahid turut mengambil polisi Enhanced Road Warrior Policy iaitu perkhidmatan insurans memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk menunda kereta sekiranya berlaku kerosakan.

“Perkhidmatan polisi ini turut memberikan perlindungan kemalangan kepada pemandu dan penumpang kenderaan.

“Manakala Bike Warrior Policy adalah perkhidmatan insurans yang memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk menunda motosikal sekiranya berlaku kerosakan.

“Polisi ini turut memberi perlindungan kemalangan diri kepada penunggang motosikal,” katanya.

Katanya, Kod KL16285NM mewakili kod nombor ejen insurans dan jenis polisi insurans.

“KL16285 adalah kod nombor ejen insurans yang berurusan dengan pelanggan, manakala NM adalah kod polisi insurans bagi bukan kenderaan bermotor,” katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.