Bekas penerbit terkenal Harvey Weinstein disabitkan dengan kesalahan merogol dan serangan seksual di Mahkamah New York semalam.

Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada tuduhan berat.

Sabitan itu dianggap kejayaan buat gerakan #MeToo.

#MeToo menggalakkan wanita untuk tampil secara terbuka bagi mendedahkan perbuatan mana-mana lelaki yang mempunyai status tinggi atas dakwaan salah laku.

Lelaki berusia 67 tahun itu kini direman di penjara Rikers, Island, New York selepas barisan tujuh juri lelaki dan lima wanita mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan, masing-masing membabitkan salah laku seksual darjah pertama dan rogol darjah ketiga.

Bagaimanapun, dia dimasukkan ke Hospital Bellevue di Manhattan kerana mengalami sakit dada, lapor AFP.

Pemenang anugerah Oscar – yang merangkul kejayaan antaranya melalui Shakespeare in Love itu bagaimanapun didapati tidak bersalah untuk rogol darjah pertama dan serangan seksual, dua tuduhan yang boleh menyebabkan dia dipenjara seumur hidup.

Namun, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 29 tahun atas dua sabitan berkenaan.

Weinstein yang menghadiri sepanjang perbicaraan menggunakan alat bantuan berjalan hanya menunjukkan sedikit emosi selepas keputusah dijatuhkan ke atasnya.

Dia ditahan sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman yang dijadual 11 Mac depan.

Peguamnya, Arthur Aidala berkata, Weinstein terkejut dengan hukuman tersebut dan berulang kali menyatakan dia tidak bersalah.

“Saya tak bersalah. Saya tak bersalah. Bagaimana ini boleh berlaku di Amerika?” katanya.

Susulan itu, ketua pembela Donna Rotunno berjanji untuk memfailkan rayuan dan berkata, perjuangan ini belum berakhir malah memuji anak guamnya itu seperti seorang lelaki sejati ketika menerima hukuman dijatuhkan.