HANOI – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan Vietnam dilihat cuba merisik strategi pasukan negara dalam usaha mengutip tiga mata penuh pada aksi Kumpulan G saingan Kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2022 di Stadium My Dinh malam esok.

Menurut Cheng Hoe, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah mengarahkan Harimau Malaya menjalani latihan di pusat latihan skuad remaja VFF yang terletak di hadapan rumah ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo sejak kelmarin, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kewajaran keputusan yang dibuat oleh tuan rumah tersebut.

“Kami telah menjalani latihan sejak Isnin lalu dan saya sedar padang yang kami gunakan adalah terletak di hadapan rumah pengendali Vietnam (Hang-seo). Kami sebagai pasukan pelawat, terpaksa akur dengan keputusan itu.

“Justeru, latihan yang kami jalani ketika ini adalah lebih kepada penumpuan aspek fizikal pemain berbanding mengatur strategi dan taktikal bagi pertemuan pada Khamis nanti (esok),” kata Cheng Hoe kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe percaya kelewatan dua tonggak utama Vietnam yang beraksi di kelab Eropah, Nguyen Cong Phuong dan Doan Van Hau me­laporkan diri dalam kem latihan pusat skuad Naga Emas itu tidak akan menjejaskan persiapan pasukan lawan tersebut.

“Saya dimaklumkan Cong Phuong dan Van Hau hadir agak lewat, tetapi dakwaan yang menyatakan bahawa Cong Phuong bergelut dengan masalah pres­tasi kerana tidak mempunyai minit permainan yang cukup bersama kelab yang diwakilinya adalah tidak benar.

“Saya percaya kedua-dua pemain ini akan menggalas pe­ranan penting buat Vietnam, selain mampu memberikan impak besar pada perlawanan itu nanti. Justeru, saya mahu semua pemain negara sentiasa berwaspada dan fokus sepenuhnya di atas padang,” kata Cheng Hoe.

Sebagai rekod, Cong Phuong telah berkelana ke Liga Belgium dengan menyertai pasukan Sint-Truiden manakala Van Hau pula bersama kelab Liga Belanda, SC Heerenveen yang mana kedua-dua pemain berkenaan menandatangani kontrak secara pinjaman selama semusim.

Skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-158 dunia, kini memburu kemenangan ke­dua dalam aksi Kumpulan G selepas menang ke atas Indonesia 3-2 pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, bulan lalu.

Momentum skuad negara tidak dapat diteruskan pada aksi kelayakan kedua apabila tewas 1-2 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.