SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Rakyat diminta bersabar dalam menuntut janji manifesto Pakatan Harapan (PH) kerana pemimpin kerajaan sedang memulihkan ekonomi negara seperti mana diperjelaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, PH memberikan pelbagai janji dalam manifesto berdasarkan keadaan ekonomi semasa yang ketika itu ia mampu dilaksanakan.

Menurutnya, selepas mengambil alih kerajaan terdapat beberapa kekangan kewangan yang terpaksa dihadapi PH seperti hutang dan sebagainya.

“Saya ingin berkongsi dengan rakyat bahawa kita PH tidak bekerja secara bersendirian. Semua kementerian memainkan peranan kerana kita nak tunjuk kepada rakyat untuk jangka panjang, kita mahu beri perkhidmatan terbaik.

“Cuma kita juga minta rakyat ada sedikit kesabaran. Itu sahaja kerana nak memulihkan ekonomi. Sebab itu Perdana Menteri sebut membina semula Malaysia.

“Pembinaan ini memerlukan dukungan daripada semua komponen penting dalam negara termasuk majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai golongan. Semua ini kita perlu untuk menjayakan agenda Malaysia Bersih,” katanya pada Sinar Live bertajuk Bila Rakyat Berani Bersuara, Apa Nak kata? di sini semalam.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, pemimpin PH perlu bersikap terbuka dan tenang berhadapan kritikan rakyat yang berani melakukan satu reformasi mengubah kerajaan pada PRU14.

Menurutnya, kerajaan yang baharu setahun setengah mentadbir negara perlu diberi peluang bagi membuktikan PH boleh menjadi kerajaan lebih baik.

“Jadi atas keyakinan dan kepercayaan, kematangan dan kebijaksanaan rakyat (berani mengubah kerajaan), saya fikir kita mesti ada kesederhanaan untuk mendengar dan menilai apa komen rakyat.

“Mana yang betul perlu kita ambil positif,” katanya.