KUALA LUMPUR: PAS cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH) menerusi cadangannya untuk membawa usul undi percaya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin usaha parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menemui kegagalan dan mengajak pimpinan PH tidak terpedaya dengan dakyah terbaru PAS.

“Itu usul PAS, kita tidak anggap itu perkara yang serius. Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH).

“Dia akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi dia. Kita tidak akan tertipu,” katanya ditemui media selepas menghadiri Majlis Sepetang bersama Alumni Yayasan Anda Akademik (YAA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan PAS itu juga tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan PH memandangkan ia langsung tidak mempunyai asas.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah (pembangkang bawa usul undi percaya) tetapi inilah PAS. Dia boleh hamun, cerca orang maksima (maksimum), sekarang dia beri sokongan maksima (kepada Dr Mahathir).

“(Cadangan usul undi percaya PAS) bukan canggung sikit, tetapi tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi (negara),” katanya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu berkata, parti itu akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir, satu usaha untuk menangani kemelut peralihan kuasa.

Tuan Ibrahim juga menyifatkan peralihan kuasa pada ketika ini dikhuatiri akan mengganggu kestabilan politik dan ekonomi.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata partinya juga berkemungkinan menyokong usul undi percaya itu.

Mohamad dilaporkan berkata, jika usul undi percaya itu menjadi langkah baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka UMNO tidak akan teragak-agak menyokongnya.