Ahmad Zahid Hamidi.

PONTIAN: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapan yang dikatakan mengenai keputusan mahkamah pada Okt membebaskan seorang jurujual dalam kes langgar lapan remaja berbasikal dua tahun lalu.

Ketuanya, Taqiuddin Cheman berkata ucapan presiden Umno itu pada satu ceramah perdana Barisan Nasional di Kampung Rimba Terjun pada Rabu, sempena Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, didakwa mencetuskan ketegangan dan mencabar kewibawaan sistem keadilan.

“Beliau mempersoalkan tindakan mahkamah yang membebaskan tertuduh dengan mengatakan ‘wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti’,” katanya di Ibu Pejabat Polis Pontian hari ini.

“Walaupun hakim majistret yang mengendalikan kes ini memberikan justifikasi yang jelas berhubung pembebasan tertuduh,” tambahnya.

Taqiuddin berharap polis dapat membuka siasatan terhadap kenyataan Zahid sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 28 Okt lepas, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Majistret Siti Hajar Ali dalam penghakimannya berkata keputusan bersandarkan situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh menyebabkan pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal di jalan itu pada 3 pagi, selain keadaan bahaya itu sendiri dicipta kumpulan basikal tersebut.

Siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit dan memakai tali pinggang keledar ketika memandu, katanya.