Pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram menggesa Putrajaya supaya “tidak bertindak apa-apa” berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi memastikan ia tidak berkuat kuasa.

Bercakap kepada pemberita di luar sambutan ulang tahun ke-70 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Jomo berkata, ratifikasi perjanjian perdagangan itu akan mencetuskan lebih banyak masalah daripada memberikan manfaat.

Beliau berkata, banyak “propaganda” untuk meratifikasi CPTPP adalah palsu, termasuk dakwaan bahawa tanpanya pertumbuhan ekonomi akan berkurang.

“Itu tidak benar. Memang benar jika anda meratifikasi CPTPP eksport akan bertambah sedikit, tetapi import akan bertambah lebih banyak lagi,” katanya.

Katanya, kajian pakar ekonomi Rashmi Banga bertajuk “CPTTP Implications for Malaysia’s Merchandise Trade Balance” misalnya menganggarkan import kereta Jepun akan meningkat dan membanjiri pasaran.

“Proton dan Perodua boleh ucapkan selamat tinggal,” katanya.

Jomo berkata, import sisa plastik juga akan meningkat kerana Jepun, Australia dan Singapura, tiga negara sumber utama sisa plastik di Malaysia, merupakan sebahagian daripada CPTPP.

Kerajaan sebelum ini kata beliau, mengeluarkan 100 lesen pemprosesan plastik, tetapi sebahagian besar daripada plastik terbabit berakhir di tempat pembuangan sampah.

Terdahulu dalam ucapannya Jomo mengingatkan tentang isu lain berkaitan CPTPP, iaitu ia membolehkan syarikat asing menyaman kerajaan kerana menghalang jualan produk mereka walaupun sekiranya produk berkenaan membahayakan Malaysia.

Beliau merujuk kepada penggunaan dua racun rumpai paling laris di negara ini yang bersifat karsinogenik.

Katanya, jika kerajaan meratifikasi CPTPP dan pada masa sama mengharamkan dua racun rumpai itu kerana kesan penyebab kansernya, ia boleh disaman oleh syarikat yang mengeluarkan racun rumpai berkenaan.

Beliau mengakui wujud salah maklumat daripada kedua-dua kelompok yang pro dan kontra berhubung CPTPP, namun salah maklumat paling besar berpunca daripada pihak yang menyokong perjanjian perdagangan tersebut.

Jomo berkata, langkah meratifikasi CPTPP akan menimbulkan masalah, sementara keputusan tidak meratifikasinya mungkin menyebabkan Malaysia dilihat sebagai menentang negara tertentu dalam perjanjian itu.

“Mari kita ambil sikap neutral. Jangan buat apa-apa. Ini kerana walaupun anda bersetuju menandatanganinya, tanpa ratifikasi ia tidak bermakna.”

Awal tahun ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata, Putrajaya belum membuat keputusan sama ada Malaysia akan meratifikasi CPTPP.

CPTTP adalah versi baru perjanjian perdagangan pelbagai hala Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) terdiri daripada 11 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.