Hati Izzue Islam tersentuh apabila dimaklumkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sudi menawarkan bantuan untuk dia dan isterinya, Awin untuk mendapatkan zuriat.

Pelakon itu berkata, tawaran berkenaan disifatkan sebagai satu pertolongan yang sangat bernilai buatnya.

“Saya akui terkejut dan terharu apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan untuk bantu saya dan isteri mendapat zuriat.

“Pertemuan ketika di belakang pentas selepas selesai pementasan teater Mak Yong memang cukup manis. Waktu itu, saya tidak banyak cakap sebab segan dan tak tahu nak borak apa.

“Bagaimanapun permaisuri ada bertanya mengenai kehidupan sebab baginda mengikuti perkembangan saya. Baginda ada kata kalau perlukan pertolongan, beritahu saja,” katanya dipetik Harian Metro.

Yayasan Fertiliti Tunku Azizah – diasaskan baginda – menawarkan penajaan ke atas pasangan terpilih untuk mendapatkan rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim (IVF) di sebuah pusat fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.

Izzue dan Awin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin mendirikan rumah tangga sejak 2 Jun 2013.

Namun, enam tahun melayar bahtera sebagai suami isteri, pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.