Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, PH perlu fokus untuk memenangi PRK Tanjung Piai 16 Nov depan.

KUKUP: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang enggan mengulas lanjut mengenai klip video tular mirip Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memaparkan seorang individu bercakap mengenai usaha melindungi orang kepentingan Melayu dengan berkata, ia bukan perkara besar.

Beliau berkata, buat masa ini tumpuan harus diberikan untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

“Dia sudah jelaskan kenyataannya diambil di luar konteks. Jadi apa-apa isu mengenai (perkara) itu kita selesaikan selepas PRK.

“Apa yang penting kita nak pastikan menang (kerusi Tanjung Piai) dan itu keutamaan kita,” katanya ketika ditemui dalam satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kukup, malam tadi.

Lim berkata, beliau juga tidak pasti perkara sebenar yang dimaksudkan oleh Faizal, bagaimanapun percaya sekiranya jentera PH kekal fokus isu klip video itu tidak akan menjejaskan peluangnya di Tanjung Piai.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu tersebut akan menjejaskan undi kepada calon PH, Karmaine Sardini yang berdepan saingan enam penjuru di situ.

Semalam tular satu klip video seorang lelaki mirip Faizal yang berkata, di Perak beliau terkontang-kanting seorang diri melawan “puak-puak DAP”.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” kata lelaki dalam klip video itu.

“Saya buat itu perlahan-lahan, tapi Alhamdulillah…kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya.”

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda PPBM yang juga Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, semua parti komponen PH memerlukan satu sama lain seperti sebuah keluarga besar.

Mengulas isu sama beliau yang mengakui perbezaan pendapat wujud dalam pakatan kerajaan itu berkata, ia bagaimanapun diselesaikan dalam “keluarga kita”.

“Walaupun ada berbeza pendapat, tapi akhirnya kita selesaikan dalam keluarga kita,” katanya selepas menghadiri ceramah PH di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun di sini, malam tadi.

“Kemenangan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 adalah kemenangan bersama dan kita akan mentadbir kerajaan secara bersama,” katanya.