BUKIT KAYU HITAM – Tindakan seorang wanita Myanmar tidak berhenti untuk pemeriksaan bagasi di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi dekat sini membawa kepada penemuan enam lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) warga sama di dalam feri pada Khamis lalu.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pemeriksaan Penumpang di terminal feri tersebut kira-kira pukul 8 pagi.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, hasil pemeriksaan terhadap wanita warga asing itu mendapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas feri yang akan dinaiki wanita itu iaitu ke Kuala Perlis menemui enam lagi warga Myanmar terdiri daripada masing-masing tiga lelaki dan perempuan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Kata beliau, semua PATI berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an itu disyaki berada di Langkawi dalam masa yang singkat sebelum merancang untuk ke tanah besar menggunakan feri.

“Mereka dalam keadaan lesu dan memakai pakaian yang lusuh selain salah sebuah beg dibawa PATI mempunyai kesan kotor lumpur yang mana mereka berkemungkinan masuk ke Langkawi melalui jalan laut,” ujarnya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang menguruskan perjalanan mereka termasuk membeli tiket feri sebelum ada pihak yang telah menunggu di Kuala Perlis.

Tambahnya, semua PATI direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. – K! ONLINE