PARLIMEN | Kerajaan tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berkenaan penamatan khidmat beberapa pegawai kerajaan, termasuk Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, pada 2015 yang didakwa berkaitan dengan siasatan skandal 1MDB, kata Hanipa Maidin.

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu merujuk pengguguran Abdul Gani, beberapa menteri termasuk timbalan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, dan pemindahan khidmat beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan berkaitan 1MDB ketika itu.

“Pada peringkat ini, kerajaan tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung dengan pemecatan ke atas peguam negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang telah diambil tindakan pada bulan Julai dan Ogos 2015.

“Bagaimanapun jika terdapat keperluan di masa depan atau terdapat sebarang maklumat serta bukti yang jelas mengenai sebarang cubaan untuk menutup siasatan ke atas ke skandal 1MDB oleh mana-mana pihak, kerajaan boleh mempertimbangkan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan parlimen semalam.

Ia bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (PH – Iskandar Puteri) sama ada kerajaan akan membuat siasatan terhadap apa yang berlaku pada masa itu.

“Peguam negara telah dipecat tanpa mengikut peruntukan Perlembagaan, pegawai kerajaan dipermangsakan, dan undang-undang disalah guna untuk menutup siasatan ke atas skandal 1MDB,” dakwa Lim dalam soalannya.

Gani pada masa itu mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. Penamatan khidmatnya dibuat atas alasan kesihatan.

Jawatan itu kemudian digantikan oleh Mohamed Apandi Ali, yang kemudian membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.

Selain Muhyiddin, Mohd Shafie Apdal juga digugurkan daripada jawatan menteri pembangunan wilayah dan luar bandar.

Antara pegawai SPRM yang dipindah tugas pula ialah Pengarah Bahagian Operasi Khas Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Rohaizad Yaakob yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.