AYAT FB: “Kita kan dah tak mahu sentuh isu ini, tiada lagi sentuh isu PM8 (perdana menteri kelapan), tiada lagi isu pengkhianatan.”

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menegaskan parti tersebut enggan lagi menyentuh soal Perdana Menteri kelapan dan ‘pengkhianatan’ dalam PKR.

Menurutnya, mereka mahu bergerak ke hadapan dan memfokuskan untuk meningkatkan tahap ekonomi serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita kan dah tak mahu sentuh isu ini, tiada lagi sentuh isu PM8 (Perdana Menteri kelapan), tiada lagi isu pengkhianatan.

“Kita perlu bergerak ke hadapan, lakukan kerja kita, tingkatkan ekonomi negara dan perkhidmatan kita kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Memetik laporan sebuah portal berita tempatan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ada ‘percubaan khianat’ untuk menghalangnya daripada menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Presiden PKR itu memberitahu konvensyen parti Sabah bahawa beliau tidak akan terganggu dengan masalah itu tetapi akan menumpukan pada usaha untuk memperkukuhkan ekonomi.

ARTIKEL BERKAITAN: Peralihan jawatan PM bukan perkara mendesak: Anwar

Dalam perkembangan lain, Zuraida memaklumkan masih tiada perkembangan berhubung hasratnya untuk bertemu Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Ahli Parlimen Ampang itu menegaskan beliau masih menunggu waktu untuk bertemu Anwar.

“Saya tak terima apa-apa lagi update (perkembangan).

“(Adakah masih mahu teruskan perjumpaan dengan Anwar?) Saya menunggu,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau menantikan masa ditetapkan daripada pihak Anwar, jawapan Zuraida tetap sama: “Saya menunggu.”

Bulan lepas, Zuraida menyatakan sebagai bakal Perdana Menteri kelapan, Anwar perlu ‘berjiwa besar’ dan bersedia untuk bertemu dengan pihak yang berbeza pendapat dalam parti itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penolakan Anwar terhadap permintaannya untuk mengadakan satu ‘mesyuarat rekonsiliasi’.

Anwar sebelum itu bertegas tidak bersedia untuk memenuhi permintaan Zuraida yang mahukan satu ‘mesyuarat rekonsiliasi’ diadakan antara beliau dan pihak-pihak dalam PKR yang dikatakan tidak berpuas hati dengannya.