Pelakon Tasha Shilla, selamat bergelar isteri Muhammad Atiq Idris dengan sekali lafaz pada jam 9.59 pagi tadi.

Muhammad Atiq dinikahkan sendiri oleh bapa Tasha, Abdul Razak Razali dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Wilayah Jalan Duta, ibu kota.

Muhammad Atiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM800 dan sebentuk cincin.

Bagaimanapun, atas alasan privasi, jumlah wang hantaran dirahsiakan oleh kedua-dua belah pihak.

Pasangan berkenaan sebelum ini mengikat tali pertunangan 23 Feb lalu selepas dua bulan mengenali hati budi masing-masing.

Tempoh perkenalan selama dua bulan itu juga mendapat sokongan baik dari kedua belah pihak keluarga.

Melalui kenyataan diedarkan, Tasha selepas ini memilih untuk menetap di Singapura bersama-sama Muhammad Atiq sebaik selesai majlis persandingan di sebelah pihak lelaki kelak.

Tasha yang lebih memilih untuk tidak menghebahkan niat mendirikan rumah tangga sebelum ini beranggapan jodoh adalah hal peribadi dan memadai untuk hanya dikongsikan bersama keluarga dan sahabat karib.

Tasha dan pasangan kelihatan serba putih dengan hasil rekaan pereka terkenal, Hatta Dolmat pada akad nikah di sebelah pagi manakala pada sebelah resepsi, pasangan itu memilih untuk mengenakan busana tradisional melayu klasik rekaan Zaimi Zulkafli.

Majlis resepsi pertama pihak perempuan akan diadakan di sebelah petang juga pada hari ini manakala resepsi kedua pihak lelaki akan diadakan pada minggu hadapan.