Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dipercayai memberi kad SIM prabayar secara percuma semasa ceramah umum di Tenggayun, semalam.

PONTIAN: Selepas mempertikaikan pengumuman peruntukan dan elaun kepada kepada nelayan, Barisan Nasional (BN) mempersoal tindakan Pakatan Harapan (PH), yang dipercayai memberi kad SIM prabayar secara percuma semasa ceramah umum PH di Tenggayun dekat sini, semalam.

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata adakah pemberian itu satu kebetulan atau dirancang.

Calon MCA mewakili BN bertanding dalam pilihan raya kecil di Tanjung Piai.

“Ceramah PH di PDM Tenggayon pada malam ini (semalam) menyaksikan pengacara mengumumkan kepada para hadirin bahawa sesiapa yang berminat untuk mendapatkan kad SIM Celcom Prabayar secara percuma, boleh mengambilnya dari pihak penganjur di kaunter khas yang disediakan.

“Siap pegawai bagi penerangan, perkhidmatan pelanggan cukup baik, Bolehkah kerajaan PH menggunakan cara ini untuk memancing undi. Halal ke haram?,” katanya kepada media di sini.

Wee berkata adakah Bersih 2.0 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil tindakan terhadap PH.

Beliau berkat sudah boleh meramal yang bakal diperkatakan sebagai respons kepada persoalan itu.

“Ia pastinya akan berbunyi, ‘setakat ini kita belum mendapat sebarang aduan’. Bukankah Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sudah kata peruntukan disalurkan ke Tanjung Piai semasa pilihan raya kecil cuma kebetulan.

“Manakala dua orang menteri kanan PH kata pemberian bantuan semasa pilihan raya kecil bukan satu kesalahan,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi PH Johor, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan berhak untuk memberi bantuan kepada rakyat pada bila-bila masa, termasuk bantuan wang RM1,000 kepada nelayan di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri berkata, langkah itu merupakan tanggungjawab kerajaan negeri sementara badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 pula hendaklah menyandarkan kritikan mereka kepada fakta.

Tiga hari lalu, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan, termasuk 544 orang di Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

Katanya, pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan diberikan secara berperingkat melalui tiga fasa.

Berikutan itu, badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menyuarakan kekecewaaan terhadap parti kerajaan yang menurutnya menyalahgunakan sumber kerajaan dalam kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai yang sedang berlangsung.