Bekas kekasih Naim Daniel, Dayana Amerda mengaku tiada istilah takut-takut untuk mengambil tindakan selanjutnya meskipun penyanyi terbabit tidak tampil seperti dituntut bagi membuat pengakuan lagu Sumpah dicipta ketika mereka bercinta.

Dayana, 21, diminta mengulas mengapa masih tiada tindakan selanjutnya diambil ke atas Naim mahupun syarikat pengurusannya, World Peace Entertainment (WPE) selepas kegagalan mereka menjelaskan pertikaian ke atas hak cipta lagu berkenaan meskipun selepas berakhir tempoh seminggu yang diberikan.

“Tak ada istilah takut-takut untuk bertindak. Lagipun, perkara seperti ni ambil masa untuk diselesaikan,” katanya melalui aplikasi pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Pada sidang media 19 Feb lalu, Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah menuntut Naim membuat pengakuan secara terbuka bahawa Sumpah dihasilkan sewaktu mereka menjalin hubungan cinta.

Pada masa sama, Dayana mendedahkan, dia mempunyai bukti-bukti kukuh bahawa Sumpah dicipta antaranya melalui telefon genggam.

Dia turut mendakwa tujuannya menuntut hak cipta bukan untuk menuntut wang kemenangan Sumpah selepas lagu berkenaan dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu ke-34 baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Dayana, dia lebih menghargai sekiranya Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin rela bersikap jujur mengenai hak cipta lagu yang dihasilkan pada 2015 itu.

Naim Daniel.

Ditanya seandainya kelewatan mengambil tindakan ke atas Naim boleh menimbulkan tanggapan dia tidak mempunyai bukti seperti didakwa, Dayana sebaliknya hanya menjawab ringkas.

“Insya-Allah, saya mempunyai bukti-bukti bersama saya. Kalau ada yang menuduh (saya tak ada bukti), saya tak boleh tutup mulut mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Dayana, proses menuntut hak penciptaan Sumpah berdepan kesukaran apabila pihak lagi satu didakwa menggunakan alasan tiada sebarang pertemuan boleh diadakan ekoran pihaknya bertindak mengadakan sidang media terlebih dahulu tempoh hari.

“Setakat ni pihak Naim tak ada hubungi atau ajak berjumpa. Sebelum ni pihak saya ada aturkan perjumpaan dengan WPE untuk kemukakan bukti.

“Tapi mereka tak nak jumpa atas alasan kami dah buat sidang media dulu sebelum jumpa,” katanya.

Menurut Dayana, WPE juga meminta bahan bukti dikirimkan melalui e-mel namun atas sebab-sebab tertentu, pihaknya enggan berbuat demikian.

“Mereka minta e-mel je bukti. Tapi pihak kami ambil keputusan untuk tak e-mel sebarang bukti melainkan selepas pihak sana setuju untuk berjumpa,” katanya.

Sementara itu, WPE berkata, pihaknya keberatan untuk mempertimbangkan sebarang tuntutan atau pertemuan sekiranya ia terlebih dahulu tidak disokong oleh sebarang bukti kukuh.

“Pihak kami juga melalui siaran media, bertarikh 20 Februari lalu dan melalui perbualan Instagram bersama wakil pihak puan pada 24 Februari lalu meminta sesalinan bukti yang kukuh terhadap tuntutan hak cipta diemelkan atau diserahkan kepada kami.

“Isu-isu berbangkit adalah amat dikesali dan ruangan untuk berbincang masih lagi keberatan untuk kami pertimbangkan sekiranya tuntutan yang dibuat tidak berasas dan tidak disokong oleh bahan-bahan bukti,” katanya.