Beberapa peguam menyatakan kebimbangan akan 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Jelas mereka, ini kerana perbicaraan mereka adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma), dan bukannya berpandukan Kod Prosedur Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan.

“Apabila seseorang didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan, perbicaraan jenayah mereka ditadbir oleh Sosma, yang berbeza dengan perbicaraan jenayah biasa,” kata peguam New Sin Yew kepada Malaysiakini.

“Sosma mengatasi Kod Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan,” tambahnya.

Kata New, Sosma menjadikan sesebuah perbicaraan jenayah berat sebelah dan memihak kepada pendakwaan kerana ia mengenepikan banyak perlindungan untuk perbicaraan yang adil di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan.

Prosedur penemuan biasa dan pengeluaran dokumen dalam kes jenayah boleh diketepikan jika kerajaan menganggapnya sebagai “maklumat sensitif”, kata New.

“Peraturan pemeriksa biasa juga dielakkan di bawah Sosma yang memberi manfaat kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Peguam New Sin Yew

Memberi contoh, New berkata, pernyataan oleh individu yang telah mati, hilang atau tidak dijumpai boleh diterima sementara dokumen yang dirampas semasa serbuan dan siasatan juga boleh diterima tanpa mengira bagaimana ia diperoleh.

“Seseorang tertuduh boleh disabitkan berdasarkan kesaksian yang tidak disahkan termasuk dari kanak-kanak bawah umur dan ia tidak diberikan di bawah sumpah.

“Semua bentuk bukti yang dipintas boleh diterima dan pihak pendakwaan tidak perlu mendedahkan bagaimana bukti itu dipintas,” katanya.

Pendakwaan juga dibenarkan menggunakan “saksi yang dilindungi” yang identitinya tidak didedahkan dalam perbicaraan, katanya lagi.

“Pihak pembelaan dilarang mengajukan sebarang pertanyaan yang boleh menyebabkan pengenalan saksi itu. Saksi boleh mengenal pasti tertuduh atau orang lain walaupun saksi itu tidak dapat dilihat oleh mereka.”

“Ini menjadikannya sangat sukar bagi tertuduh untuk mempertahankan dirinya,” katanya.

Malah, katanya, hakim perbicaraan juga terikat dengan Sosma.

Pada 10 dan 13 Okt lalu, polis menahan 12 individu di bawah Sosma atas dakwaan mempunyai kaitan dengan LTTE pada 10 Okt dan 12 Okt.

Mereka ditahan dengan pelbagai pertuduhan di bawah seksyen 130 Kanun Keseksaan pada 29 Okt dan 31 Okt.

Dilaporkan pada November 2018 bahawa lebih 2,000 ditahan di bawah Sosma.

Satu laporan pada November 2017 berkata sejumlah 159 kanak-kanak ditahan di bawah Akta yang sama.

Selepas mendapat kritikan susulan penggunaan Sosma, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Sosma dengan mengurangkan tempoh tahanan dari 28 hari hingga 14 hari.

Pindaan Sosma dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2020.

Bagaimanapun, seorang lagi peguam, R Sivahnanthan berpendapat bahawa pengurangan tempoh tahanan tidak dapat menjamin perbicaraan yang adil bagi tertuduh.

“Bukan hanya 28 hari reman di bawah Sosma yang memerlukan pindaan, peruntukan lain yang memberi berpihak kepada pendakwaan juga perlu dipinda.

“Semakin serius sesuatu kesalahan itu, semakin kuat bukti yang perlu dikemukakan, dan bukannya keterangan yang kabur yang tidak seharusnya diterima di mahkamah undang-undang,” katanya.

“Memburukkan lagi keadaan, saksi akan dapat memberikan keterangan tentang desas-desus di mahkamah yang boleh diterima di bawah Akta Sosma (yang ada),” katanya.

Tambahnya, bukti khabar angin hanya bermaksud “laporan kata-kata orang lain oleh saksi”

“Hampir mustahil untuk menafikan bukti tanpa terlebih dahulu mengetahui latar belakang dan kaitan antara saksi dan tertuduh,” katanya.

Menurutnya, penggunaan Sosma adalah ibarat seperti jaminan sabitan terhadap tertuduh.

Sivahnanthan berkata walaupun seorang tertuduh dibebaskan dan terbukti tidak bersalah, pihak pendakwaan boleh memaklumkan mahkamah tentang hasrat mereka untuk merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi agar tertuduh terus direman di penjara.

Proses reman akan diteruskan sehingga semua proses rayuan dua peringkat dilupuskan dan keseluruhan proses boleh membawa kepada enam hingga tujuh tahun.

“Kenapa seorang yang tidak bersalah perlu direman enam hingga tujuh tahun di penjara walaupun dibebaskan berkali-kali?” soal Sivahnanthan.

Peguam Amer Hamzah Arshad

Peguam Amer Hamzah Arshad pula berkata tempoh tahanan di bawah Sosma boleh disalah guna untuk memberi tekanan kepada suspek.

“Di UK pada tahun 1970-an, kita telah menyaksikan bagaimana undang-undang keselamatan telah disalahgunakan dan mengakibatkan keadilan tidak dapat diberikan dalam kes Guilford Four and Maguire Seven,” katanya.

Guildford Four dan Maguire Seven adalah merujuk kes individu yang disabitkan dengan serangan bom dan mengendalikan bahan letupan pada tahun 1975 dan 1976.

Pensabitan mereka masing-masing dibatalkan pada tahun 1989 dan 1991. Amer juga berkata bahawa unsur kerahsiaan dalam Sosma membuka peluang kepada pihak pendakwa mengemukakan saksi yang tidak benar untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.

Beliau merujuk kepada peruntukan Sosma yang membolehkan saksi memberi keterangan tanpa nama.

[Baca berita penuh]