SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail sifatkan suasana tegang sewaktu sesi perbahasan bagi Belanjawan Selangor 2020 Isnin lalu menggambarkan ketidakmatangan blok kerajaan.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, tindakan ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan yang bangun mencelah membela kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama seperti mahu melepas geram.

“Tindakan Sany menunjukkan sikap tidak matang sebagai wakil rakyat. Beliau cuba ganggu perbahasan saya tanpa fakta, ibarat lepas geram dan menggambarkan mereka layaknya jadi pembangkang.

“YB (Yang Berhormat) Sany ini jaguh kampung, jaguh mencelah. Itupun mencelah tanpa fakta dan memekik, tapi tak berbahas.

“Datang sekadar nak mencelah tapi tak ada perbahasan, inikah wakil rakyat? Sepatutnya wakil rakyat ada isu masalah setempat patut bahas isu setempat mereka, apa yang perlu dimajukan,” katanya mengulas insiden Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang sedikit tegang Isnin lalu.

Beliau ditemui di Balai Polis Seksyen 6 selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan provokasi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Ahad lalu.

Rizam menjelaskan isu kegagalan kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) dan tol yang dibangkitkannya hingga menimbulkan suasana tegang pada hari itu adalah fakta yang telah diketahui umum.

“Semua orang tahu PH gagal tunai janji manifesto dan kita ada bukti rakaman. Dulu masa nak perintah janji macam-macam, bila dah jadi pemerintah pusing macam-macam pula. Itu sebab saya kata kerajaan sekarang kerajaan flip flop (tak tetap pendirian).

“Saya tak menjawab di situ kerana tak mahu memanjangkan perkara yang tidak sepatutnya. Fokus saya adalah perbahasan saya dan berikan hujah kepada kerajaan negeri untuk tambah baik bela nasib rakyat,” katanya.

Isnin lalu persidangan DUN Selangor sedikit tegang apabila isu PTPTN dibangkitkan Rizam ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020.

Rizam menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan janji pemansuhan PTPTN dan tol seperti termaktub di dalam manifesto PH.

Kenyataan itu menyebabkan Mohd Sany bangkit mencelah dengan menyatakan bahawa janji tersebut tak ada dalam janji PH sebaliknya merupakan manifesto Pas yang mahu hapus PTPTN.