SHAH ALAM – Sindiket dadah tempatan kini menjadikan kawasan luar bandar sebagai lokasi makmal memproses dadah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata, trend berpindah ke kawasan luar bandar itu dikesan berdasarkan pembongkaran beberapa makmal dadah di kawasan luar bandar hasil operasi polis tahun ini.

“Tahun ini sahaja polis berjaya membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara dan daripada jumlah itu, terdapat seperti peningkatan dari segi trend lokasi yang mana makmal yang kami lumpuhkan terletak di kawasan luar bandar.

“Seperti contoh makmal dadah yang dilumpuhkan di Meru, Klang bulan lepas… makmal itu terletak di luar bandar berhampiran kawasan kampung,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama pesara pengarah, timbalan pengarah dan ketua penolong pengarah JSJN. Perjumpaan itu akan diadakan setiap tahun bagi mengenang jasa anggota polis yang pernah berkhidmat dengan JSJN yang telah bersara.

Sehubungan itu, Mohd Khalil menasihati penduduk kampung agar membuat laporan polis sekiranya melihat pergerakan kenderaan keluar masuk yang luar biasa di kawasan mereka.

Mengenai anggota polis yang terlibat dalam kegiatan dadah, Mohd Khalil berkata, pengaruh rakan dan tekanan kerja merupakan faktor utama yang membawa kepada penglibatan anggota pasukan keselamatan itu dalam gejala dadah.

Beliau berkata, kerjaya sebagai pasukan keselamatan itu berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga mereka menjadikan dadah sebagai sumber hiburan.

“Tidak dinafikan dalam kalangan mereka ini terlibat dengan kegiatan dadah disebabkan pengaruh rakan mereka selain tekanan kerja sebagai polis itu sifatnya mencabar.

“Hasil siasatan dijalankan menerusi tangkapan menerusi Op Blue Devil sejak dilancarkan Ogos lepas mendapati ada juga dalam kalangan mereka menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, secara keseluruhan Op Blue Devil turut memberikan kesan positif dalam kalangan pegawai dan anggota polis sedia ada dan ada dalam kalangan mereka yang telah melakukan perubahan dalam diri mereka.

“Kami turut mempergiatkan lagi usaha-usaha membendung perkara ini daripada terus berlaku menerusi taklimat terhadap anggota polis pelatih termasuk yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 190 pegawai dan anggota polis ditahan di seluruh negara selepas didapati positif dadah menerusi Op Blue Devil sejak Ogos lepas. – Bernama