Meskipun Semi Final Muzik-Muzik 34 (SFMM34) sudah hampir tiba, masih belum ada tanda-tanda siapa gerangan artis yang akan menggantikan tempat penyanyi Siti Nurhaliza bagi mempersembahkan lagunya, Anta Permana.

Penerbit Eksekutif Muzik-Muzik 34, Nurul Huda Khalid berkata, pihak produksi menyerahkan keputusan itu sebulat suara kepada syarikat label dan komposer lagu berkenaan, Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Lagu Anta Permana tidak akan dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza pada peringkat akhir. Memang untuk peringkat ini lagu berkenaan akan dinyanyikan oleh artis lain.

“Pihak produksi tak dapat nak menentukan siapakah artis tersebut, keputusan tu diserahkan kepada Universal Music dan komposer Anta Permana sendiri,” katanya.

Nurul Huda (gambar, bawah) ditemui pada sidang media SFMM34 di Theaterette, Balai Seni Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 30 buah lagu – temasuk Anta Permana – diumumkan bakal berentap di pentas SFMM34.

Lagu-lagu itu antaranya ialah, Drama oleh Drama Band, Paku (Ernie Zakri), 123 (Khai Bahar), Bidadari (Ismail Izzani), Tetap Kamu (Amylea X Megat) dan Dinda (Kugiran Masdo).

Persaingan 30 buah lagu itu bagi merebut 12 tempat di pentas AJL34 yang dijadual bermula pada 15, 22 dan 29 November ini.

Dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Haziq Hussni, SFMM34 akan bersiaran secara langsung pada setiap hari Jumaat, pukul 9.00 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sebelum ini, media melaporkan Hael pernah memujuk Siti, 40, untuk menyanyikan lagu gabungan muzik moden dan klasik itu sekiranya ia layak tersenarai dalam SFMM34 dan Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).

Namun, Siti ketika itu memberikan jawapan sama, iaitu dia masih enggan menyertai pertandingan tersebut.

Kali terakhir Siti bertanding di pentas berprestij itu ialah melalui lagu Destinasi Cinta pada AJL 22.

Bagaimanapun, Nurul Huda berkata, pihak produksi tiada masalah sekiranya pada saat akhir, Siti tiba-tiba menarik semula keputusannya itu dan berhasrat untuk menyertai pertandingan.

“Jika sewaktu separuh akhir orang lain, tapi apabila final (AJL34) Siti nak bertanding, produksi akan benarkan.

“Dia sebelum ini bagi tahu nyanyi lagu tu bukan untuk bertanding. Justeru, doa, doa sajalah,” katanya.

Untuk rekod, Anta Permana berjaya menduduki tangga teratas iTunes, sekaligus mengetepikan lagu penyanyi asal Kanada, Avril Lagivne, Head Above Water.

Selain itu, ia meraih 11 pensijilan platinum dengan lebih 14 juta tontonan di YouTube. Tanda pagar lagu berkenaan juga pernah menjadi sohor kini di media sosial.

Sementara itu, mengulas persaingan tahun ini yang dilihat terdiri daripada kombinasi penyanyi baru dan senior, Nurul Huda berkata, yang tersenarai dalam SFMM34, semuanya dinilai dengan markah tinggi daripada juri.

“Memang pada awal pihak produksi agak khuatir kerana belum peroleh lagu yang layak sampai ke peringkat akhir.

“Tapi alhamdulillah, kebanyakan lagu-lagu yang tersenarai ialah lagu popular di radio manakala yang tidak (tidak pernah dimainkan di radio) pula meraih markah tinggi daripada peminat,” katanya.