Apakah benar kata orang bahawa demokrasi di negara ini sudah mati? Atau sebenarnya segala kekalutan yang berlaku sekarang ini hanyalah konflik keyakinan terhadap kuasa yang diinstitusikan melalui pilihan raya umum (PRU) lalu oleh rakyat sendiri?

Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara yang pernah menduduki Dewan Rakyat selama sepenggal pernah menulis dalam novelnya, SHIT:

“Tapi apa salahnya kalau kita perkakaskan lobang keramat yang canggih mekanismenya itu demi untuk memperoleh kebusukan yang spesial dan demi untuk memperolehi selera keseronokan yang lain dari yang lain?

“Memang kita sudah bersumpah tak akan keluar langsung melalui lobang keramat itu, tapi apa salahnya kalau kita buat-buat keluar dan kemudian buat-buat masuk kembali ke dalam kawasan kekuasaan kita?

“Apa salahnya? Proses keluar masuk dan masuk keluar beberapa kali melalui lobang keramat itu sebenarnya satu proses yang tak ada apa-apa keganjilannya, tapi melalui proses itulah ni’mat kebusukan menjadi ni’mat yang unik dan makna kebusukan menjadi makna yang unik.”

Demokrasi belum lagi mati. Sebaliknya segala proses yang sedang berlangsung – termasuk inisiatif yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong bertemu secara peribadi dengan semua ahli parlimen – tentunya menjadi penanda aras baru kepada kesuburan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan di negara ini.

Nampak lucu berpelukan

Kata Mahathir Mohamad yang memohon dan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri:

“Saya tidak cari untuk disukai ramai, saya hanyalah membuat sesuatu yang saya anggap baik bagi negara. Orang politik dan parti politik terlalu mengutamakan politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.”

Sementara permainan dan ‘stunts politik gila’ ini terus diaksikan oleh sekelian rakyat, ada perkara penting yang harus diperhatikan dengan rapat untuk kita mengetahui dan mengakui apakah ‘benda’ yang sebenarnya mati – iaitu bahasa yang digunakan dalam pergulatan kuasa ini.

Senandika – Solilokui pada bab lima dalam novelat kontroversi yang sama, Shahnon Ahmad meneruskan kata:

“Memang sukar diterima akal berhubung dengan peristiwa itu. Banyak yang berlaku diluar duga, yang langsung tidak pernah dirancang, yang langsung tidak pernah terfikir pun. Manalah boleh masuk akal apabila diri ini membuat keputusan untuk bersama dalam barisan bersistem politik taik yang busuk dan membusukkan itu.

“Segala-galanya pelik; malah banyak yang menerimanya sebagai satu pencabulan pula tapi demikianlah yang berlaku.”

Menyaksikan ahli parlimen mengaturkan ‘rombongan’ sambil melambai-lambai dari atas bas semacam perarakan kereta berhias ke Istana Negara itu memang aneh, tapi ia tidaklah selucu melihat Azmin Ali, Hishammuddin Hussein, Zuraida Kamaruddin, Hadi Awang, Shahidan Kassim dan Zahid Hamidi berpeluk cium di Sheraton serta makan semeja.

Malah ia bertukar menjadi debaran apabila Muhyiddin Yassin dan beberapa kerat pimpinan Bersatu, Umno dan PAS turut turun ke Sheraton menzahirkan pakatan mereka.

Demokrasi tidak pernah mati dalam perkembangan politik hari ini, yang berlaku hanyalah percaturan dan permainan strategi.

Ada masa waras, ada masa gila

Ia dibuktikan melalui lunak kata bahasa Annuar Musa setelah langkah Sheraton yang lucu itu kelihatan digagalkan oleh Mahathir sendiri.

“Seterusnya melihat kepada kemelut ini, kita merasakan tidak adil kepada rakyat kalau berlaku sebarang usaha membentuk kerajaan yang lari daripada prinsip-prinsip amalan demokrasi berparlimen dalam negara kita, tidak menghormati suara parti sebaliknya mengambil suara-suara individu yang boleh menimbulkan konflik kepada parti-parti yang terlibat.

“Dan juga penglibatan pihak-pihak yang tertentu yang dasarnya bercanggah dengan kami, kami tidak boleh bersekongkol kalau dalam unity government itu melibatkan DAP, kita sebulat suara kita mengambil pendirian kita tidak akan menyertai kerajaan itu.

“Oleh yang demikian apabila ditanya apakah pendirian dan pengesyoran kami untuk disembahkan kepada seri paduka baginda yang dipertuan agong, maka setelah parti berbincang kita merasakan kita tidak boleh menyembunyikan daripada rakyat dan pengetahuan orang ramai, lalu press conference hari ini diadakan supaya tidak lagi timbul teka-teki, dan tidak timbul telahan-telahan apa lagi lagi telahan yang negatif pada parti-parti kita, lalu pendirian kita ialah dalam situasi yang seperti ini, mandat haruslah dikembalikan kepada rakyat, dan kita bermohon supaya parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat yang menentukan.

“Sebarang penyelesaian di luar daripada cara-cara yang diamalkan dalam negara kita mengundang ketidakstabilan. Sebarang idea cara-cara baru walaupun nampak sebaik mana sekalipun adalah menggadai masa depan rakyat…”

Bahasa politik Annuar itu kelihatan sama dengan bahasa politik Anwar Ibrahim ini yang disampaikan lebih serius dan lebih tegas lagi:

“Justeru itu keputusan majlis presiden semalam telah menetapkan bahawa calon perdana menteri PH ialah Anwar Ibrahim. Pakatan Harapan kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat, untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial. Kami tidak akan mengkhianati amanah tersebut.”

Demokrasi adalah tentang kisah si majoriti menguruskan kumpulan yang minoriti. Ada parti, pemimpin dan permainan strategi kuasa yang menunggang politik dalam demokrasi.

Ada kalanya mereka waras, ada kalanya mereka gila. Semua itu boleh dikesan melalui bahasa yang keluar dari mulut mereka.

Mengatasnamakan demokarasi sambil menunggang rakyat dalam politik tidak akan mematikan demokrasi.

Bak kata Shahnon Ahmad pada hujung novelnya:

“Rakyat di luar cepat sedar; malah iklim menjadi begitu aman dan harmonis sekali. Angin dari bukit dan gunung berpuput lembut tanpa sebarang ribut dan badai. Mentari juga sengaja melunakkan sinarannya, membiarkan cahayanya menjamah setiap lekuk dan lurah di belulang bumi dan dari situ lahirlah tumbuhan-tumbuhan yang serba segar dan indah.”

Demokrasi tidak mati, yang mati hanyalah kepercayaan.


HARIS HAUZAH ialah lelaki yang tidak cool tapi percaya menulis mampu membantu orang lain untuk berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.