Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Setiausaha politik Anwar Ibrahim mendakwa sidang media oleh seorang lelaki hari ini, yang mengkritik pihak berkuasa tidak bertindak atas laporan polis yang dibuat terhadapnya sebelum ini, didorongi seorang bekas ahli PKR.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa sidang media oleh Muhammad Yusoff Rawther itu satu usaha untuk mencemarkan imej parti oleh “seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan”.

“Di ambang persidangan kongres PKR kali ke-14 wujudlah pihak yang ingin menghuru-harakan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farhash mendakwa bekas ahli PKR itu bekerjasama dengan Yusoff, dan mengesahkan Yusoff bekas penyelidik sukarelawan di pejabat Anwar.

Bekas ahli PKR itu, ketika dihubungi FMT berkata, dia akan menjawab kenyataan Farhash esok.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini menuduh Farhash, yang juga ketua PKR Perak, menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden parti di Petaling Jaya.

Dia berkata satu laporan polis dibuat selepas kejadian itu, dan pada September, dia memfailkan saman terhadap Farhash dan seorang pembantu media Anwar.