SEBAGAI usaha membantu pihak kurang berkemampuan, rangkaian kedai elektronik terkemuka, Senheng Electric Sdn Bhd (Senheng) mengambil inisiatif menaja seramai 17 pelajar terpilih melalui pemberian biasiswa Senheng Education Assistance Programme (SEA).

Program SEA yang diilhamkan sejak Februari tahun ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Senheng yang menawarkan biasiswa berjumlah sehingga RM400,000 kepada pelajar yang menuntut di peringkat ijazah sarjana atau ijazah sarjana muda.

Setiap penerima biasiswa ini akan mendapat bantuan berjumlah RM20,000 setiap seorang dan pelajar terpilih terdiri daripada mereka yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, sains komputer, ekonomi, kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat (IT), logistik, pemasaran, komunikasi massa/media, psikologi dan lain-lain lagi.

Sepanjang tempoh Februari hingga Oktober tahun ini, Senheng menerima sebanyak 232 permohonan dan daripada jumlah itu, 30 pelajar dipilih bagi menjalani peringkat temuduga pra-pemeriksaan yang pertama.

Selepas itu, seramai 20 pelajar yang terpilih dalam peringkat sebelum ini perlu menjalani temuduga peringkat akhir di mana hanya 17 pemohon akan dipilih bagi menerima biasiswa tersebut.

Antara kriteria pemilihan penerima biasiswa berkenaan adalah pelajar terlibat tidak boleh berusia lebih daripada 25 tahun, memiliki rekod akademik terpuji serta kehadiran yang aktif dalam kegiatan kokurikulum tambahan dan aktiviti sukarelawan.

Difahamkan, pelajar yang terpilih juga perlu mengekalkan kualiti yang tinggi dalam aspek pendidikan, disiplin dan aktiviti-aktiviti sukarelawan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Malah, penerima biasiswa terlibat juga akan diambil bekerja sebagai pelatih praktikal semasa cuti semester dan diserap ke dalam tenaga kerja Senheng sebagai kakitangan sepenuh masa dengan tempoh perkhidmatan wajib selama tiga tahun selepas menamatkan pengajian masing-masing.