SITIAWAN – Misteri kehilangan ayam kampung milik seorang penternak terjawab selepas kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam aksi dua lelaki dipercayai remaja sedang memasukkan ayam ke dalam guni dalam kejadian di Kampung Jelutong, Batu 8 Lekir di sini pada 26 Oktober lalu.

Penternak ayam, Ahmad Lotfi Tarmizi, 57, berkata, kehilangan ayam tersebut bukanlah pertama kali kerana ia berlaku sejak awal tahun ini.

Namun katanya, sebelum ini dia tidak mengetahui individu yang mencuri ayam tersebut sehingga CCTV dipasang sejak empat bulan lalu.

“Sebenarnya ini kejadian kali ketiga. Sebelah petang mereka curi, lepas itu malam pun mereka datang balik.

“Ayam-ayam ini dicuri biasanya masa musim perayaan. Cuma sebelum ini tak pasti orang yang sama atau tak yang curi sebab saya baru pasang CCTV,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian 26 Oktober lalu, mangsa datang mencuri ayam tersebut kira-kira jam 5.04 petang sebelum datang semula pada sebelah malam.

Ahmad Lotfi berkata, sekurang-kurangnya 60 ekor ayam dicuri dengan nilai kerugian dianggarkan RM1,000.

“Laporan polis sudah pun dibuat di Balai Polis Seri Manjung selepas kejadian itu. Bukan saya saja yang hilang ayam tapi ada juga penternak lain turut mengalami nasib sama.

“Video ini sengaja saya muat naik dalam media sosial untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai supaya berhati-hati,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman mengesahkan menerima laporan berkaitan kes kecurian tersebut pada 27 Oktober lalu.

Menurutnya, pihak polis sedang mengenalpasti dan mengesan individu di dalam rakaman video CCTV yang tular itu.

“Kita sedang mengesan individu-individu di dalam video tersebut dipercayai remaja. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada individu yang menjual ayam dalam keadaan mencurigakan boleh maklumkan kepada pihak polis.

“Kita percaya individu tersebut orang tempatan yang berada di sekitar kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Terdahulu, video rakaman CCTV berkenaan tular di Facebook sejak pagi tadi.

Dalam video yang berdurasi 1.38 minit itu tersebut menunjukkan tiga lelaki memakai topi keledar sedang mencuri ayam dalam reban di dalam Facebook sejak pagi tadi.

Rakaman tersebut memaparkan dua lelaki berada dalam reban sedang menangkap beberapa ekor ayam sebelum memasukkannya ke dalam guni dan menyerahkannya kepada seorang lagi rakannya yang menunggu di luar reban.