Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

PUTRAJAYA: Sekolah memandu yang didapati menjual lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) kepada pemandu e-hailing akan ditutup, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata demikian ketika tempoh pematuhan syarat-syarat perkhidmatan e-hailing semakin menghampiri tarikh akhir pada 12 Okt.

“Sindiket yang menjual PSV akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk disiasat,” katanya pada sidang media di kementerian hari ini.

Loke menambah lesen PSV yang dibeli itu akan ditarik balik.

“Tindakan juga akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat dalam penipuan,” tambahnya.

Lok berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai sindiket menjual lesen PSV.

Memetik sumber, portal The Malaysian Insight melaporkan sindiket menawarkan “pakej” lesen PSV kepada pemandu e-hailing dengan bayaran antara RM400 hingga RM800.

Ia menjamin pemandu e-hailing memperoleh lesen PSV tanpa perlu melalui sebarang proses.

Syarikat e-hailing Grab menyedari perkara tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada kementerian untuk mengambil tindakan.

“Saya boleh minta SPRM siasat dan tindakan akan diambil,” kata Loke, dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat memberikannya kepada kementerian.