Walaupun beraksi di atas permukaan padang rumput yang buruk, skuad boling padang negara menampilkan aksi membanggakan, selepas meraih tiga daripada empat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, hari ini.

Pingat emas pertama hadir menerusi gandingan pemain veteran, Siti Zalina Ahmad dan tiga pemain muda -Afiqah Dayana Budiman, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman yang menewaskan pasukan Filipina dengan keputusan 17-6, pada aksi final di CDC Lot Friendship Gate, dekat sini.

Gandingan pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil pula menyumbang emas kedua untuk Malaysia, setelah menewaskan Brunei dengan keputusan 21-14 dalam acara pairs wanita.

Trio lelaki negara dibarisi Izzat Shameer Dzulkeple, Mohamed Fairus Abd Jabal dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli, mengesahkan pingat ketiga acara boling pada untuk Malaysia selepas menewaskan pasukan tuan rumah dengan kemenangan 14-8 pada aksi final triples lelaki.

– Bernama