KUALA LUMPUR: Sayap UMNO akan menterjemahkan amanah yang diberikan kepemimpinan parti itu untuk mengambil alih semula pentadbiran kerajaan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pergerakan itu sedang memikirkan cara yang terbaik untuk meraih semula undi rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini akan kita lakukan melalui gerak kerja yang sudah, sedang dan akan kita aturkan.

“Sayap parti terutama Wanita akan menterjemahkan apa yang diamanahkan menjadi kenyataan.

“Kemenangan kita pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini adalah satu permulaan kepada perjalanan yang masih jauh untuk kita mengambil kembali kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad dalam ucapannya berkata, UMNO perlu mewujudkan tawaran baharu kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia jika mahu memperkasakan dirinya menjadi pergerakan yang menjadi landasan massa terbuka dan inklusif untuk diterima kembali masyarakat negara ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, ucapan Timbalan Presiden menekankan mengenai politik identiti dan perkauman yang tidak boleh dianggap bermasalah kerana itu adalah imej sebenar bagi Malaysia.

Katanya, dakwaan kerajaan kononnya UMNO mengamalkan politik perkauman satu pandangan dangkal, seolah-olah menafikan apa yang rakyat sendiri mahukan.

“Malaysia ini unik. Setiap rakyat ada identiti masing-masing. Ada keutamaan masing-masing.

“Bangsa Cina, contohnya begitu mementingkan bahasa dan budaya dia, orang Melayu pentingkan agama dan budayanya.

“Ini keistimewaan Malaysia yang kita adun bersama. Kita tak boleh rasa bersalah, seolah-olah politik identiti tidak relevan. Ini adalah pemikiran dangkal,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan kestabilan, semua pihak mesti menerap konsep saling menghormati antara kaum.

“Identiti kaum kita kekalkan. Politik kaum tidak ada masalah, asalkan kita tidak bertindak zalim dan tidak adil. Sebaliknya menghormati. Ini toleransi paling tinggi yang mesti dipegang semua pihak,” katanya.