PARLIMEN | Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Perkara itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Arif Md Yusof sebaik diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong selepas hangat dibincangkan dan dibahaskan lebih 20 ahli parlimen selama hampir enam jam.

Sebelum keputusan itu, Liew memberitahu anggota dewan bahawa undang-undang itu tidak digubal secara tergesa-gesa bagi membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghargai setiap pandangan yang diberikan oleh ahli Parlimen.

“Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas ini bukan dianggotai oleh semua ahli parlimen, hanya beberapa sahaja jadi mereka tidak dapat mewakilkan pandangan semua ahli parlimen.

“Hari ini kita buka untuk dibincangkan di Dewan Rakyat supaya semua boleh beri pandangan dan semua ini akan direkodkan dan Jawatankuasa Pilihan Khas boleh rujuk hansard dan buat hala tuju untuk perkara yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh selepas pembangkang meminta supaya ahli parlimen tidak membuang masa membahaskan RUU itu dan mahu ia terus dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperincikan lagi.

Kekecohan itu berlaku selepas Liew membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua dan berlarutan sehingga sidang Dewan Rakyat berhenti rehat.

RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok.

– Bernama