SEREMBAN: Rumah kongsi tujuh pintu yang menjadi tempat penginapan 32 warga asing di Jalan Labu di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2, Mohd Syazwan Said, berkata kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu mula disedari oleh salah seorang penghuni yang sedang bekerja di kilang bata terletak berhampiran dengan rumah berkenaan.

“Ketika penghuni, Chandra Irawan, 30 bersama beberapa penghuni lain sedang bekerja di kilang, terdengar bunyi letupan sebelum ternampak rumah kongsi itu terbakar.

“Dia kemudian menjerit dan meminta rakan sekerjanya untuk memadam api berkenaan, namun gagal disebabkan api merebak begitu pantas sebelum mereka membuat panggilan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, enam jentera dengan kekuatan 25 anggota dari BBDP Seremban 2 dibantu BBDP Nilai dan Bomba Sukarela Pelenggong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.47 tengah hari

“Sebaik tiba pada jam 2.03 petang, kami mendapati kebakaran membabitkan tujuh pintu dan tiga bilik musnah sepenuhnya.

“Pihak bomba mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran itu, manakala semua 32 mangsa termasuk dua kanak-kanak selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.