TONGGAK Manchester United, Marcus Rashford berjanji akan memperbaiki penyudahnya selepas membantu The Red Devils melakar kemenangan 3-0 ke atas Partizan Belgrade pada aksi Liga Europa di Old Trafford awal pagi tadi.

Pada aksi keempat kumpulan L itu penyerang berusia 22 tahun itu mempersiakan deretan peluang untuk menjaringkan sebelum gol Mason Greenwood pada minit ke-22 dan Anthony Martial (33) memastikan tuan rumah selesa mendahului kelab Serbai itu 2-0 pada babak pertama.

Namun babak kedua Rashford kembali menemui sentuhan penyudahnya sekali gus mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-49 seterusnya gol kemenangan tuan rumah.

Rashford berkata biarpun gagal mempamerkan penyudah yang tajam, namun mengakui kemenangan itu penting sebagai tonik kebangkitan kepada beliau dan pemain Manchester United lain selepas 1-0 tumpas kepada Bournemouth pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

“Saya masih perlu memperbaiki tindakan penyudah di depan gol selepas ini biarpun kami melakar kemenangan selesa pada perlawanan ini dengan corak permainan yang positif dan agresif.

“Satu persembahan yang boleh dibanggakan oleh pemain-pemain bahagian depan seperti saya dan rakan-rakan lain kerana kami tampil kekal fokus pada perlawanan ini dalam memburu gol.

“Saya berharap kami dapat memperbaiki penyudah kami supaya lebih tajam pada masa sama bekerja lebih keras lagi bagi memantapkan persembahan untuk perlawanan seterusnya,” kata penyerang England itu yang sudah menjaringkan lapan gol dari 16 penampilan bersama gergasi liga Inggeris itu.

Sementara itu, pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer mahu pemain-pemain kelab itu mengekalkan momentum kemenangan yang mengesahkan kemaraan mereka ke saingan kalah mati pada saingan Liga Europa berkenaan diteruskan pada saingan liga minggu ini.

Biarpun begitu pengendali berusia 46 tahun itu mengakui kecewa dengan ketumpulan barisan depan kelab berkenaan dalam menghadirkan kemenangan besar pada perlawanan berkenaan, namun tetap berpuas hati dengan kemantapan bahagian pertahanan yang tidak bolos selepas mengharungi empat perlawanan.

“Ia satu kemenangan yang harus dibanggakan dan diteruskan oleh pemain-pemain Manchester United pada saingan liga selepas ini.

“Pemain-pemain berjaya mempamerkan corak permainan yang berkualiti cumanya selepas ini kami kena lebih fokus menjaringkan banyak gol selepas mencipta deretan peluang,” katanya.

The Red Devils yang menduduki tangga ke-10 liga selepas mengharungi 11 perlawanan bakal melayan kunjungan Brighton di Old Trafford pada Ahad ini.