P Ramasamy berkata beliau tiada masalah jika kerajaan mahu membentangkan kertas putih berkaitan penglibatan rakyat Malaysia dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun, beliau menuntut tindakan sama dibuat dalam isu lain seperti dakwaan pemimpin PAS menerima wang 1MDB, kumpulan bersenjata IS dan penceramah kontroversi Zakir Naik.

“Saya mengalu-alukan (pembentangan kertas putih tersebut), tapi saya juga minta kerajaan sediakan kertas putih tentang 1MDB.

“Siapa yang terima duit korupsi itu, berapa ramai pemimpin PAS terima (dana 1MDB). Saya juga mahu kertas putih mengenai penangkapan mereka yang berjuang untuk IS di Syria.

“Saya juga minta kertas putih mengenai Zakir Naik. Kenapa perlindungan diberi kepada Zakir Naik?” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

PAS telah menafikan dakwaan menerima wang 1MDB.

Untuk rekod, 12 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP ditahan atas dakwaan dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE di Malaysia.