Isteri Ahmad Dhani, Mulan Jameela, kembali menjadi bahan bualan warganet selepas mereka meragui status pendidikannya yang dilihat sangat luar biasa.

Mulan yang kini menjadi wakil rakyat didapati mengikuti sekolah rendah hanya selama tiga tahun berbanding anak-anak lain yang perlu menghabiskan masa selama enam tahun.

Latar belakang pendidikan asas isteri pengasas kumpulan Dewa 19 itu diperolehi dari laman sesawang Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia.

Menurut maklumat yang dipaparkan di situ, Mulan memasuki sekolah rendah di Malangbong pada 1988 dan tamat pada 1991.

“Sekolah rendah cuma tiga tahun, mungkin pakai orang dalam,” kata seorang pengguna media sosial.

Namun, selepas isu itu menjadi bualan, maklumat mengenai pendidikan asas Mulan dilihat sudah dikemas kini. Dia didakwa mengikuti sekolah rendah di Malangbong mulai 1985 hingga 1991.

Kemudian, Mulan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Pertama Malangbong dari 1991 hingga 1994. Selanjutnya, dia ke Sekolah Menengah Atas Malangbong dari 1994 hingga 1997.

Hal berkaitan pendidikan Mulan, 40, mula mengundang perhatian umum kerana mereka hairan bagaimana bekas anggota band Ratu itu layak menjadi wakil rakyat walaupun cuma tamat sekolah rendah

Jika mengikut syarat menjadi calon wakil rakyat, tahap pendidikan minimum untuk menjadi anggota DPR ialah tamat sekolah menengah atas.

Setakat ini, Mulan masih belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut. Sebelum ini, pengendali media sosial Mula juga enggan mengulas malah menganggap cuma ada kesalahan pada data.

Mulan bertanding mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan memenangi kerusi kawasan Jawa Barat XI.