Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis dan Cawangan Khas telah diarah menyiasat satu perhimpunan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) semalam.

Katanya, beberapa isu akan disiasat, termasuk sama ada ia merupakan perhimpunan tertutup, adakah ia mematuhi peraturan berkaitan perhimpunan sedemikian dan apakah yang berlaku semasa perhimpunan itu berjalan.

“Kita akan tunggu laporan sebelum apa-apa tindakan yang wajar boleh diambil,” kata beliau kepada media selepas merasmikan Hari Imigresen 2019 di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada perhimpunan itu merupakan acara tahunan, Muhyiddin berkata, setakat pengetahuan beliau, perhimpunan sedemikian tidak pernah diadakan sebelum ini.

“Orang ramai tidak pernah tahu tentangnya sehingga sekarang. Jadi soal yang berbangkit nanti polis akan siasat. Apakah tujuan sebenarnya? Adakah hanya untuk meraikan Perjanjian Hatyai atau usaha untuk hidupkan semula semangat komunisme lampau atau ada tujuan tertentu?”

Menurut Muhyiddin, Malaysia negara aman. Oleh sebab itu, siasatan harus dijalankan bagi memastikan jika perhimpunan tersebut melanggar mana-mana undang-undang.

“Negara kita sudah aman. Tidak ada apa-apa (kekacauan). Jadi apa perlu hal begitu?.”

Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 bekas ahli PKM mengadakan perhimpunan di Kajang.

Difahamkan bahawa perhimpunan tersebut adalah untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Hatyai antara PKM dan kerajaan Malaysia pada 2 Dis 1989.

Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, tiada laporan dibuat (mengenai perhimpunan berkenaan), walaupun unit di bawahnya telah mengambil maklum berhubung perkara itu.