KLANG – Polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes samun di Taman Klang Jaya, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli berkata, dua lelaki itu dikenali sebagai R Sugana, 32, beralamat di Taman Sentosa Klang dan K Rhubenesha, 28, atau nama panggilan Ruby Desawan beralamat Taman Desawan Klang.

“Kita sedang giat mengesan suspek yang dikenalpasti terlibat dengan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Shamsul Amar berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial berdurasi 6.38 minit melibatkan dua lelaki melakukan samun berkumpulan terhadap seorang wanita kira-kira jam 10.04 pagi.

“Dalam kejadian itu suspek telah melarikan beberapa barang milik mangsa antaranya kereta jenis Perodua Kelisa, dua buah notebook, satu Ipad, telefon bimbit jenis IPhone dan wang tunai RM1,200,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya merampas sebuah kereta Proton Persona warna kelabu pada jam 3 petang Ahad lalu.

“Kereta itu dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek yang masih bebas boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.