Kumpulan yang terbabit dalam urusan membawa balik abu mayat Chin Peng bergambar bersama selepas menabur abu mayat bekas pemimpin PKM itu di laut dan hutan di Perak pada September lalu. (Gambar Facebook)

LUMUT: Lima lagi individu memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata ia menjadikan semua 7 individu memberi keterangan sejak Jumaat lepas dan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan Bukit Aman.

“Tujuh individu dirakam percakapan dan Bukit Aman telah melawat tempat yang ada (abu).

“Mereka ini adalah saksi yang terlibat menerima abu mayat, meletakkan (abu mayat) di tempat-tempat di kaki banjaran Titiwangsa,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua polis daerah Manjung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hari ini.

Nor Omar Sappi, 44, yang sebelum ini bertugas sebagai ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor menggantikan Muhamad Hanif Othman yang ditukarkan ke Kontinjen Pahang.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Manjung antara Azura Abdullah Effendi dengan Siti Dalila Mohd Yasin yang disaksikan Pengerusi Perkep negeri, Zainah Othman.

Terdahulu, Razarudin menyermpurnakan majlis penyerahan 16 kenderaan pacuan 4 roda bagi kegunaan ketua balai polis di seluruh Perak menggantikan Perodua Kancil yang digunakan sejak 1998.

Razarudin berkata, 103 Perodua Kancil digunakan selama 21 tahun dan kini hanya 40 yang masih digunakan.

“Penggantian kenderaan ini melibatkan 9 daerah merangkumi 16 balai polis yang akan digantikan secara berperingkat.

“Saya berharap dengan dibekalkan kenderaan ini, ketua balai polis dapat memantau pergerakan dan kerja dengan efisien, sekaligus mengurangkan kadar jenayah di kawasan.”