Pelawak Ali Putih berkata, usahawan Aliff Syukri Kamarzaman boleh datang ke rumahnya untuk meminta maaf pada bila-bila masa saja.

Ali berkata demikian susulan sidang media khas yang diadakan Aliff di Kota Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Menurutnya, pintu rumahnya memang dibuka seluas-luasnya untuk Aliff sekiranya usahawan produk kosmetik itu diberikan hidayah untuk hadir dan memohon maaf dengan ikhlas.

“Semasa diadakan sidang media tempoh hari, saya sudah nyatakan saya memaafkan dan pada masa sama memohon maaf pada dia.

“Cuma, saya turut minta dia datang ke rumah berjumpa ibu, Sabariah Arshad pula untuk memohon maaf daripadanya. Ibu saya yang berusia 64 tahun ketika ini berkerusi roda, sukar untuk keluar rumah.

“Justeru, dia boleh datang pada bila-bila masa, tiada tarikh ditetapkan untuk Aliff berbuat demikian,” katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Pada sidang media tersebut, Aliff membuat permohonan maaf secara terbuka ditujukan kepada Ali, balu arwah pelawak Abam, iaitu Nor Hidayah Mohd Ali dan keluarga kedua-dua belah pihak susulan kontroversi dicetuskannya melalui sebuah sesi wawancara baru-baru ini.

Dia juga mendakwa, Nor Hidayah sebenarnya rela hati menceritakan kepayahannya untuk meneruskan kehidupannya satu per satu bersama anak Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan.

Terdahulu, isu berkaitan harta peninggalan allahyarham Abam tercetus apabila Ali didakwa merampas telefon genggam dan dompet arwah, selain membiarkan Nor Hidayah pergi ke klinik membawa anak sakit menaiki Grab.

Kesemua dakwaan ini dinafikan Ali dalam satu sidang media diadakan 21 Feb lalu bahkan dia menasihati Aliff untuk segera bertaubat kerana berjaya memecah-belahkan mereka sekeluarga.

Pada masa sama, tegas Ali, Aliff dilarang sama sekali untuk membuat sebarang sesi rakaman atau merakam secara langsung sewaktu sesi memohon maaf itu berlangsung kerana ia dikhuatiri bertujuan mendapatkan publisiti untuk mana-mana saluran media sosial miliknya.

“Saya tak akan benarkan kalau ada rakaman kerana tak mahu isu berpanjangan atau timbul masalah lain pula.

“Saya dah bagi peluang untuk dia berjumpa ibu secara tertutup, justeru gunalah peluang tu dengan sebaik-baiknya,” katanya.