KES SRC NAJIB | Sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.2 bilion) daripada pihak Arab Saudi dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmBank milik bekas Perdana Menteri Najib Razak antara 2011 hingga 2013, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Menurut penyataan saksi Najib, sebanyak AS$99,999,976.00 (RM304,329,765.73) dikreditkan pada 2011; AS$269,999,985.59 (RM831,919,489.84) pada 2012 dan AS$680,999,976.00 (RM2,081,476,926) pada 2013.

Perkara ini timbul semasa Najib, 66, memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika ditanya peguamnya Rahmat Hazlan sama ada beliau mengetahui secara tepat transaksi kredit akaun AmBank miliknya yang nombornya berakhir dengan 694 dari tahun 2011 hingga 2013, Najib menjawab: “Saya tidak tahu berkenaan butiran bagi setiap satu dan semua transaksi kredit ke akaun 694 pada ketika itu.”

Ditanya sekiranya beliau mengetahui mengenai jumlah wang yang diterima itu, Najib berkata beliau hanya mengetahui mengenai kesemua transaksi itu apabila keterangannya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Najib, identiti penghantar wang tersebut semestinya diketahui oleh AmBank dan Bank Negara Malaysia yang turut menerima beberapa surat dari 2011 hingga 2013 sebagai dokumen sokongan yang menyatakan bahawa derma itu akan dibuat beberapa syarikat.

“Saya percaya ini adalah sebab mengapa tiada apa-apa yang mencurigakan dibangkitkan kepada saya pada masa itu,” katanya.

“Saya juga telah ditunjukkan beberapa surat yang dikatakan berasal daripada wakil sah Raja Abdullah yang menyatakan bahawa Raja Abdullah mengurniakan saya wang tersebut sebagai hadiah yang boleh digunakan atas budi bicara mutlak saya,” katanya.

Anggota parlimen Pekan itu menambah, pada dasarnya wang tersebut diberikan kerana baginda (Raja Abdullah) tidak mahu kesan buruk seperti Arab Spring merebak ke Malaysia.

Najib berkata surat asal tersebut tertinggal di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa

  • 3 tuduhan pecah amanah

  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

Menjawab soalan Rahmat sekiranya beliau membelanjakan keseluruhan wang yang diterima dalam akaun banknya pada 2013, Najib berkata bahawa sehingga Julai 2013, beliau diberitahu terdapat sejumlah besar wang yang tinggal di dalam akaun yang berakhir dengan 694.

Najib berkata sejumlah RM2.02 bilion dikembalikan dan baki sekitar RM162 juta dipindahkan ke satu akaun baru yang dibukanya pada Ogos 2013.

Pada 11 Nov lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

– Bernama