KUALA LUMPUR: PETRONAS hari ini menyambut kejayaan Kejuaraan Pengeluar Dunia F1 FIA di Kuala Lumpur dengan penampilan istimewa dua pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

Mercedes AMG PETRONAS menjadi pasukan pertama dalam sejarah sukan permotoran memenangi kejuaraan berganda enam kali berturut-turut.

Silver Arrows merangkul kejuaraan pengeluar di Jepun ketika Bottas memenangi perlumbaan manakala Hamilton menjadi pemandu kedua paling berjaya di Grand Prix Amerika Syarikat (AS).

Di Menara Berkembar PETRONAS, pemandu mengucapkan terima kasih kepada kakitangan PETRONAS atas sumbangan mereka yang tidak ternilai untuk kejayaan Mercedes sejak sedekad lalu.

Hamilton berkata, ia menjadi perkara yang hebat apabila PETRONAS menjemput mereka ke ibu pejabat untuk meraikan kejuaraan bersama.

“PETRONAS adalah bahagian penting dalam pasukan dan kami tidak dapat melakukannya tanpa mereka. Kami mencapai sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini – enam kejuaraan berganda berturut-turut!. 

“Kejayaan yang luar biasa ini adalah kerja keras dan dedikasi setiap ahli keluarga Mercedes-AMG PETRONAS.

“Terima kasih kepada semua pihak di PETRONAS atas sokongan berterusan sejak 10 tahun lalu. Kami akan terus berusaha untuk musim depan dan berharap dapat meningkatkan kualiti perlumbaan kami,” kata Hamilton.

Sejak pengenalan unit kuasa Hybrid pada 2014, PETRONAS menerusi Fluid Technology SolutionsTM menjana kuasa kepada Mercedes untuk membolehkan pasukan memenangi kejuaraan berganda enam kali berturut-turut.

Dalam 10 musim perkongsian teknologi, sebanyak 92 kemenangan Grand Prix diraih dalam 196 perlumbaan selain merangkul 102 petak utama dan menjulang 193 trofi.

Dalam perkembangan lain, Bottas berkata ia adalah musim terbaik dalam F1 dan berterima kasih kepada kerja keras dilakukan semua pihak, selain mengakui tidak sabar untuk menghadapi satu lagi cabaran pada tahun depan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, memenangi enam kejuaraan pengeluar adalah pencapaian luar biasa hasil perkongsian bersama sebagai rakan teknikal Mercedes AMG PETRONAS.

“Kejayaan perkongsian dengan Mercedes AMG memaparkan sokongan berterusan untuk menyokong pasukan melalui penawaran Fluid Technology SolutionsTM. 

“Mewakili PETRONAS saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mercedes AMG PETRONAS atas kejayaan dan kami bersedia untuk memberi nilai tambah yang baru kepada pasukan sebagai rakan rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif,” katanya.