SERI MANJUNG – Kerana berang tebu yang ditanam terbakar, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sanggup mengacu senapang angin kepada rakannya.

Bagaimana suspek berjaya ditahan pihak polis selepas tindakan itu dilaporkan mangsa pada 27 Februari 2019 di Balai Polis Sitiawan.

Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek yang berusia 47 tahun itu berjaya diberkas pada 4 November lalu pada jam 7.40 malam di rumahnya di Taman Seri Manjung.

“Dalam kejadian itu suspek mengacukan senapang angin kepada seorang lelaki yang juga rakannya kerana berang mendakwa tebunya dibakar oleh mangsa di kawasan Perindustrian Seri Manjung.

“Siasatan awal mendapati suspek membeli senjata tersebut daripada seorang lelaki Indonesia sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ditahan pihaknya turut merampas sebuah beg berwarna hitam dan selaras senapang disyaki senapang angin jenama R Steven Air Rifle Automatic.

Dalam pada itu Muhammad Hanif berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk menjejaki suspek.

“Suspek sebelum ini tidak ada di rumah sehinggalah kita mengesannya pada 4 November lalu. Jadi kita tidak pernah menutup mana-mana kes walaupun lama dilaporkan.

“Semakan ke atas suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya.

Beliau berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah menggunakan senjata dan direman selama tiga hari sehingga 7 November ini.