KUALA LUMPUR: Perdamaian di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengukuhkan lagi Pakatan Harapan (PH).

Menyifatkan perdamaian itu sebagai tepat pada masanya, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub gembira dengan perkembangan terbaru dua pemimpin utama PH itu.

“Perdamaian itu penting untuk mengembalikan kekuatan PH. Jika tidak, sukar bagi PH. Ia membantu mengukuhkan parti kita (PH),” katanya kepada BH selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di sini, malam ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub. – NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Yang turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan; Timbalannya, Faiz Fadzil; Ketua Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA), Nurthaqaffah Nordin.

Perdamaian Anwar dan Mohamed Azmin itu terserlah selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini memutuskan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu akan merasmikan serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, di Melaka, malam esok.

Keputusan itu dicapai selepas pertemuan Anwar dan 20 ahli MPP PKR, termasuk Mohamed Azmin di bangunan Parlimen, lewat petang tadi.

Anwar mengadakan perbincangan dengan Mohamed Azmin selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR yang juga diadakan di lokasi sama.

Mengulas peluangnya untuk mempertahankan jawatan di sandang dalam pemilihan parti Jumaat ini, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

“Saya berserah kepada nasib. Jawatan ini (Timbalan Presiden) akan ditentukan jika saya terpilih ke dalam 25 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat.

“Jika terpilih, terserah pula kepada ahli jawatankuasa ini untuk membuat keputusan,” katanya.

Mengulas keputusan kerajaan mahu mengehadkan jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, Salahuddin berkata, AMANAH bersetuju dengan perkara itu.

“Kita bersetuju sebab memang terkandung dalam manifesto PH. Kita sudah buat kajian dan ada lebih banyak yang baik berbanding yang buruk. Malah, Kabinet juga menyokong perkara itu,” tegasnya.

Sementara itu dalam ucapannya, Salahuddin mengingatkan barisan kepemimpinan Pemuda Amanah, AWAN dan WARDA perlu menjadikan konsep ‘rahmatan lil alamin’ sebagai cara hidup mereka dalam membawa perjuangan parti supaya terus diterima masyarakat.

Beliau menegaskan konsep yang dipelopori AMANAH itu akan menjadi tunjang kekuatan Pemuda, AWAN dan WARDA untuk menjadi pemimpin pelapis parti.

“Rakyat tidak akan terpegun hanya dengan istilah. Yang penting, kekuatannya di mana. Praktikalnya di mana?

“Kita perlu mendukung ‘rahmatan lil alamin dalam hidup dan perjuangan. Kita perlu membawa falsafah ini dan kita hidup dan mati kerananya. Bukan sekadar cakap saja.

“Kita mahu bawa gagasan ini dalam perjuangan, bukan sekadar slogan,” katanya.

Salahuddin berkata, sekarang adalah peluang terbaik kepada kepemimpinan sayap parti mempamerkan akhlak yang selari dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’.

“Kita perlu menterjemahkan ‘rahmatan lil alamin’ dalam kehidupan kita. Bagaimana hubungan kita dengan sahabat, musuh, jiran dan keluarga.

“Bagaimana kita menyantuni wanita dan juga anak muda. Ini cabaran besar kita,” katanya.