KUALA LUMPUR – Penjimatan program subsidi berupaya memberi manfaat kepada rakyat termasuk untuk Inisiatif Peduli Rakyat dan juga pembangunan infrastruktur kemudahan awam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi program tersebut yang dibuat bersasar, kerajaan juga dapat mengelakkan banyak ketirisan.

Menurutnya, ia sekali gus menyelamatkan peruntukan subsidi pengangkutan daripada diberi kepada penyeludup petrol, warga asing dan golongan T20 yang menggunakan kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin serta tangki minyak yang besar.

“Penerima subsidi petrol daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 sedia ada juga terus dilindungi melalui pemberian subsidi petrol kepada mereka menggunakan kaedah yang lebih bersasar.

“Kos yang diselamatkan pula dapat digunakan untuk pelbagai inisiatif yang memanfaatkan golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, seperti sedia maklum, peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial dalam Belanjawan 2020 juga ditingkatkan daripada RM22.3 bilion untuk 2019 kepada RM24.2 bilion.

Beliau berkata, itu termasuk penambahan kepada bantuan kebajikan seperti peningkatan elaun kepada anggota bomba, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, pelatih Latihan Teknikal dan Vokasional serta suntikan vaksin pneumokokal secara percuma yang sebelum ini hanya mampu dibeli golongan berada.

Katanya, pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar juga diberi perhatian dengan peruntukan subsidi kepada pengusaha bas bagi menyokong sambungan ‘last-mile’ di kawasan luar bandar dan bandar.

“Saya harap sebahagian penjimatan daripada program subsidi petrol bersasar ini boleh digunakan bagi menambah baik serta menyediakan pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar supaya semua lapisan masyarakat dapat meraih manfaat daripada subsidi pengangkutan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid menyatakan pandangan bahawa program subsidi petrol sebelum ini tidak memanfaatkan semua golongan dalam kumpulan B40 kerana lebih daripada satu pertiga daripada isi rumah B40 tidak memiliki kenderaan.

Selain itu, beliau turut berpendapat, pengangkutan awam di kawasan luar bandar harus diberi lebih perhatian.