Syarikat World Peace Entertainment (WPE) yang menguruskan penyanyi Sumpah, Naim Daniel, menuntut Dayana Amerda mengemukakan bukti selepas mendakwa berlaku konflik hak cipta untuk lagu tersebut.

Menurut kenyataan dikeluarkan WPE hari, mereka juga mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada pihak Dayana bagi menyelesaikan perkara berbangkit.

“WPE sebagai sebuah organisasi yang mengetengahkan keunggulan bakat-bakat artis muda tanah air melalui pelbagai lagu-lagu hit, berasa amat berbesar hati untuk mempertimbangkan sebarang tuntutan tersebut sekiranya hak-hak yang dikemukakan adalah benar dan muktamad.

“Justeru, pihak kami sudi bekerjasama untuk menyelesaikan apa-apa perkara yang berbangkit.

“Sila kemukakan tuntutan bersama bukti-bukti berkaitan sekiranya hak yang dikemukakan adalah benar dan muktamad,” menurut kenyataan tersebut.

WPE turut menegaskan, secara mutlak, Sumpah sentiasa menjadi hak cipta yang dikreditkan kepada pihak-pihak seperti tertera: “Penulis Lirik: Naim Daniel; penggubah: Omar K dan Naim Daniel.”

Semalam, Malaysiakini melaporkan Dayana memberi tempoh seminggu kepada Naim untuk tampil membuat pengakuan bahawa Sumpah dicipta ketika mereka merupakan sepasang kekasih pada 2015.

Percaya sesuci hati

Kegagalan berbuat demikian, kata Dayana, boleh menyebabkan Naim dikenakan tindakan undang-undang.

Dakwanya, selepas pertikaian hak cipta tercetus, dia dan keluarganya tidak habis-habis dikecam netizen yang menuduhnya tamak royalti selain merujuknya sebagai penunggang agama.

Sebaliknya, kata pemilik nama sebenar Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah itu, dia sebenarnya lebih mengharapkan kejujuran daripada Naim.

Mengulas proses menyatakan hak cipta perlu dilakukan penyanyi memiliki nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin itu, Dayana berkata, dia tidak kisah bagaimana caranya, asalkan ia bersesuaian.

“Tak kisahlah dalam bentuk video ke, sidang media ke. Cuma pihak kami berlapang dada jika dia mahu berjumpa bagi berbincang hal ini secara terperinci,” katanya dalam sidang media diadakan di Petaling Jaya semalam.

Untuk rekod, Sumpah diangkat sebagai Juara melalui Anugerah Juara Lagu ke-34 dalam acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil 10 Feb lalu.

Pada masa sama, WPE menyatakan pihaknya turut menyesali setiap kesulitan perlu didepani Dayana dan keluarga akibat isu hak cipta dan tuntutannya.

“Sebelum sidang media tersebut, kami sesuci hatinya percaya bahawa sebarang rasa tidak puas hati di antara mana-mana pihak telah pun diselesaikan terlebih dahulu.

“Namun, hakikatnya ia adalah di sebaliknya dan masih berpanjangan,” katanya.