PRK TG PIAI | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan sentiasa mengawal kempen pilihan raya berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, penguatkuasaan bagi kesalahan pilihan raya adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan polis.

“Masalahnya ialah kefahaman peruntukan bidang kuasa di bawah undang-undang pilihan raya. Ramai yang membuat kesimpulan bahawa penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa SPR.

“Tetapi, sebenarnya penguatkuasaan kesalahan-kesalahan pilihan raya yang menyentuh soal rasuah dan salahguna kuasa ialah di bawah SPRM dan mengenai kesalahan seperti “hate speech” adalah di bawah bidang kuasa polis.

“SPR tidak mempunyai kuasa siasatan, apatah lagi tangkapan ataupun pendakwaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas persoalan dibangkitkan PAS berhubung kawalan kempen ketika pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz semalam mendakwa ada beberapa parti politik melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan menggunakan jentera kerajaan, selain menabur pelbagai janji.

Kata Nik Abduh, SPR wajar meneliti isu berkenaan dan seperti yang dibahaskannya di Dewan Rakyat sebelum ini beliau berharap badan pengendali pilihan raya itu boleh menyediakan laporan mengenai perkara itu.

Menurut Azhar, SPR sentiasa mengawal aspek kempen pilihan raya setakat mana kawalan itu berada di bawah bidang kuasanya.

“Pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya memantau kempen setiap hari dan malam. 

“Tindakan diambil oleh pasukan ini setakat mana ia mempunyai kuasa di bawah kerangka undang-undang sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 64 kesalahan pilihan raya dilakukan parti-parti bertanding di Tanjung Piai setakat semalam.

Menurut laporan dikeluarkan SPR, sebanyak 30 kesalahan dilakukan BN, diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 17 kesalahan, Gerakan (8) dan Berjasa (2).