SUNGAI SIPUT – Seorang pencari madu maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas melakukan aktiviti mengutip madu dalam kejadian di hutan di Sungai Korbu, Kampung Kenang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Faadelee Mohamad, 30, tidak sedarkan diri sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7 malam sebelum meminta bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya masuk ke kawasan hutan tersebut untuk menjalankan rutin mencari madu.

“Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan rakannya percaya dia mungkin diserang sawan kerana pernah mempunyai sejarah penyakit itu sebelum ini,” katanya.

Tambah Mohd. Khaizam, terdapat kesukaran untuk mengeluarkan mangsa berikutan cuaca yang gelap dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 10 malam.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk proses bedah siasat dan hasilnya mangsa maut disebabkan bisa sengatan lebah.

“Tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian dan polis mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE