SHAH ALAM – Malaysia Society of Awareness (Masa) menyambut baik pengumuman kerajaan yang membenarkan penanaman hem, sejenis ganja daripada spesis cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.

Setiausaha Masa, Harish Kumar Thanabalan berkata, ia usaha awal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan kefahaman kepada rakyat mengenai kegunaan ganja dan mengubah stigma ganja yang dikaitkan dengan masalah penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, pada masa sama beliau berharap kerajaan dapat memberi laluan kepada MASA dan universiti tempatan bagi menjalankan kajian dan penanaman kanabis bagi tujuan perubatan serentak dengan penanaman hem.

“Masa membuat kajian penggunaan kanabis/marijuana bagi perubatan yang sesuai digunakan untuk masalah kemurungan dan penyakit mental.

“Kemurungan berpunca daripada pemikiran yang tidak boleh dikawal dan penggunaan kanabis membuatkan pesakit stabil dan lebih tenang disusuli aktiviti sokongan bagi perawatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Harish Kumar berkata, kanabis mempunyai lebih 1,000 spesies yang memulihkan pelbagai penyakit bergantung kepada kandungan dan kegunaannya.

“Kajian Masa dalam tempoh lima tahun sehingga sekarang menumpukan kepada kanabis yang mengandungi Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) yang melebihi lima peratus untuk rawatan kemurungan dan masalah mental kerana berpandangan ia adalah isu besar dalam negara.

“Tahun lepas hasil kajian mendapati 4.8 juta atau 15 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan dan memerlukan sekurang-kurangnya 1 juta pakar psikologi untuk tangani isi tersebut,” katanya.

Katanya, KKM perlu ambil langkah ke hadapan dengan membenarkan kajian perubatan kanabis dijalankan memandangkan Malaysia agak terkebelakang dari segi kelulusan perubatan kanabis.

“Thailand kemungkinan akan membenarkan setiap rumah menanam enam pokok kanabis disebabkan merupakan tumbuhan khususnya kepada pesakit.

“Ini adalah langkah berani yang diambil dalam tempoh setahun selepas membenarkan perubatan kanabis diguna,” katanya.

Menurutnya, kanabis dibuktikan di beberapa negara mampu merawat penyakit, namun disebabkan isu perundangan menyebabkan kajian mengenainya terhad.

“Kami mendapat sokongan kajian daripada Pejabat Perdana Menteri dan kini hanya menunggu kelulusan daripada KKM. Kelulusan kajian ini penting bagi membolehkan kami mengetahui penggunaan tumbuhan itu benar selamat atau sebaliknya.

“Masa dua tahun diperlukan selepas kelulusan melibatkan tempoh tanaman (6-12 bulan) dan satu tahun lagi untuk melengkapkan kajian,” katanya.

Harish Kumar berkata, kajian awal menunjukkan risiko ketagihan melalui pengambilan kanabis harian adalah sebanyak sembilan peratus berbanding ketagihan kafein dan gula iaitu 11 peratus dan ke atas.