KOTA BHARU – Empat lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan tiga ditahan polis bersama 7,800 pil kuda bernilai RM117,000 di sebuah rumah di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat pagi semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu ditahan bersama abangnya yang berusia 24 tahun serta dua lagi rakan mereka berusia 21 dan 20 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil maklumat serta risikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tumpat menyerbu rumah didiami sekumpulan suspek.

Menurutnya, berlaku pergelutan sebelum keempat-empat mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah menjumpai satu plastik berwarna hijau di atas kerusi di ruang tamu.

“Plastik itu mengandungi bungkusan kertas berwarna kuning dan sebuah kotak.

“Bungkusan itu mengandungi 6,000 pil kuda manakala di dalam kotak pula terdapat bungkusan berisi 1,800 pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM117,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Pil kuda dan ubat batuk yang dirampas.

Pil kuda dan ubat batuk yang dirampas.

Beliau berkata, polis masih menyiasat peranan pelajar terbabit dalam kumpulan itu dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau.

“Abangnya yang merupakan suspek pertama yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mempunyai tujuh rekod lampau berkait dadah.

“Suspek keempat positif dadah dan kesemua mereka dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah bermula awal Oktober lalu dengan memperoleh bekalan di kawasan Pasir Pekan untuk pasaran di sekitar Tumpat,” katanya.

Hasanuddin berkata, kesemua suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada jam 12.35 tengah malam semalam seorang penganggur berusia 26 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan bersama 17 kotak berisi 1,644 botol ubat batuk atau dadah cecair jenis kodein berjumlah 162.96 liter.

Dadah bernilai RM24, 444 itu dirampas manakala lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.