KUALA LUMPUR – Gedung beli-belah terkemuka, Parkson telah menyelesaikan proses naik taraf salah sebuah cawangannya, Parkson Elite di Gurney Plaza, Pulau Pinang bagi menyediakan pengalaman lebih baik buat pengunjung.

Berkeluasan 167,000 kaki persegi (15,514 meter persegi), gedung empat tingkat itu kini menawarkan lebih daripada 300 jenama antarabangsa dan tempatan meliputi kategori kecantikan, fesyen, gaya hidup, kediaman dan banyak lagi.

Parkson melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini baru-baru ini berkata, Parkson Elite di Gurney Plaza telah direka bentuk semula bagi menempatkan ruang berjalan lebih luas dan mesra keluarga dengan kemasan dalaman yang tidak hanya menakjubkan, malah menjimatkan tenaga elektrik.

“Menggunakan konsep terbuka untuk ruang runcit yang luas, ruangan kosmetik dan minyak wangi di tingkat bawah mempunyai tiang berbentuk pokok kelapa yang menggambarkan identiti Pulau Pinang.

“Turut disediakan ialah kawasan permainan kanak-kanak selain kabin kecantikan buat kemudahan pengunjung,” katanya.

Menurut Parkson, pihaknya turut menaik taraf kaunter khidmat pelanggan yang mencerminkan komitmennya bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang selesa dan memuaskan.

“Parkson Elite di Gurney Plaza tidak hanya menyediakan penanda aras baharu bagi pusat fesyen di Pulau Pinang, malah memberikan pengalaman sosial yang bermakna buat sesiapa yang mengunjunginya,” katanya.