Bermula 1 Jan tahun depan, pelawat ke Taman Negara Pahang dikenakan bayaran RM10 bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah, RM30 bagi golongan dewasa 13 hingga 60 tahun dan RM15 bagi mereka berusia 61 tahun ke atas. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memperkenalkan kadar baru fi dan permit masuk ke Taman Negara bermula 1 Jan tahun hadapan, iaitu kenaikan pertama sejak ia beroperasi 70 tahun lepas.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar baru itu menggantikan kadar lama permit masuk Taman Negara yang bernilai RM1 untuk seorang tidak kira umur.

Kadar baru yang akan dikenakan ialah RM10 bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, manakala bayaran RM30 dikenakan kepada golongan berusia antara 13 hingga 60 tahun dan mereka yang berusia 61 tahun ke atas perlu membayar RM15, katanya.

“Semakan semula ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan hasil negeri, selain meningkatkan pendapatan yang sekali gus mencapai hasrat kita untuk menjadi negeri berdikari.

“Pertambahan hasil yang diperoleh ini akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk sumbangan dan projek pembangunan yang akan dilaksanakan,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bersama penjawat awam Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Hadir sama barisan ahli exco negeri dan setiausaha kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak.

Wan Rosdy juga memaklumkan beliau amat berpuas hati dengan prestasi kerja dan pencapaian jabatan serta penjawat awam di Pahang, yang disifatkan sebagai faktor penentu kepada kejayaan sesebuah kerajaan.

Katanya, sebagai sebuah negeri pembangkang, Pahang perlu lebih berdikari dalam meningkatkan pendapatan dan memacu pembangunan negeri pada masa hadapan bersesuaian dengan slogan “Maju Terus Pahang”.

Antara inisiatif bagi meningkatkan pendapatan ialah menarik lebih banyak pelaburan luar negara dan syarikat konglomerat dalam negara untuk melabur di Pahang, selain kutipan cukai yang tertunggak dan kadar cukai baru yang tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.